Anda di sini

Kerajaan perlu teliti penjarakan sosial penumpang pesawat: Ling

Advertisement
LING
LING

SIBU: Kerajaan persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) diseru agar melihat amalan penjarakan sosial melibatkan penumpang pe-sawat bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling mengutarakan isu itu selepas berulang-alik bebe-rapa kali dari Kuala Lumpur ke Sibu dan Kuala Lumpur ke Kuching sejak beberapa minggu lepas.

Menurut Ling, penjarakan sosial diamalkan di lapangan terbang, namun diabaikan oleh penumpang apabila berada dalam pesawat.

“Di premis perniagaan dan tempat awam, penjarakan sosial diamalkan dengan ketat. Namun sedih apabila dalam pesawat, amalan ini tidak dipatuhi.

“Saya menyeru kerajaan persekutuan agar melihat perkara ini. Perjalanan udara agak berisiko kerana keba-nyakan kes kini membabitkan kes import.

“Oleh itu, penjarakan so-sial juga perlu diamalkan di dalam pesawat kerana bimbang mereka yang duduk di sebelah kita kemungkinan pembawa virus ini,” ujarnya pada satu sidang media, kelmarin.

Ling turut mencadangkan mereka yang pulang dari luar negara duduk berasingan dengan penumpang lain di dalam pesawat.

“Syarikat penerbangan perlu menyediakan sejumlah kerusi, khas bagi menempatkan penumpang yang pulang dari luar negara,” jelasnya.

Dalam perkara lain, beliau berkata harga tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Sibu dan Sibu ke Kuala Lumpur mencecah hampir RM1,000 bagi kelas ekonomi.

“Isu ini telah dibangkitkan di parlimen, namun syarikat penerbangan terus menaikkan tambang penerbangan. Isu ini perlu diselesaikan segera,” ujarnya.

Advertisement