Anda di sini

Kekang penularan COVID-19, pergerakan antara bahagian tidak digalakan

Advertisement
 

KUCHING: Pergerakan antara Bahagian tidak digalakan memandangkan kes positif di Bahagian Kuching dan Samarahan semakin meningkat.

Timbalan Ketua Menteri juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) berkata pergerakan orang awam di antara bahagian hanya digalakan bagi kes-kes tertentu.

Menurutnya ia termasuk menjalankan tugas rasmi, pekerja perkhidmatan penting, kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat dan keperluan pemeriksaan kesihatan.

"Sehubungan itu kita menasihatkan terutamanya kepada kita yang berada di Kuching untuk tidak melakukan pergerakan ke bahagian yang masih lagi berstatus Hijau buat sementara ini.

"Kecuali atas kes-kes tertentu yang saya nyatakan tadi. Ia bukan satu larangan (pergerakan) namun kita amat menggalakan agar anda semua memberi kerjasama bagi memutuskan rantaian ini," katanya pada sidang media harian khas, hari ini.

Tambah Uggah, Kuching sehingga kini masih lagi berstatus Kuning kerana ia merekodkan 38 kes tempatan dan selebihnya adalah kes import.

Sementara itu mengulas lanjut mengenai keputusan JPBNS hari ini, beliau berkata, jawatankuasa telah mengadakan perbincangan dengan pihak Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan memutuskan kemasukan pelajar Program Pra Universiti akan ditangguhkan sehingga satu tarikh yang akan diberitahu kemudian. 

"Selain itu jawatankuasa juga memutuskan peluasan penangguhan pembukaan semula sesi persekolahan bagi Daerah Padawan adalah SJK Chung Hua, Siburan melibatkan Tahun 1, 2, 3, 4, 5 dan 6. Bagi kelas Prasekolah, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa dan penangguhan tersebut adalah sehingga 03 Ogos 2020," katanya.

Sementara itu kata Uggah, semua warga Sarawak yang balik dari Luar Negara, yang menggunakan pesawat dan transit di Semenanjung Malaysia, Labuan, Sabah, Brunei atau Singapura diwajibkan menjalani kuarantin di destinasi terakhir selama 14 hari.

  • oleh
  • Advertisement