Anda di sini

COVID-19: Sembilan kes baru direkodkan di Sarawak

Advertisement
Uggah dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian pada sidang media mengenai COVID-19.
Uggah dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian pada sidang media mengenai COVID-19.

KUCHING: Sarawak merekodkan sembilan kes positif COVID-19 hari ini, yang melibatkan enam kes di daerah Kuching dan tiga kes di daerah Samarahan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu berkata, ia menjadikan jumlah kes keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak setakat hari ini sebanyak 641 kes.

"Satu kes melibatkan seorang pelajar wanita yang baru balik dari Perth Australia pada 20 Julai 2020 melalui Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak dan kes telah berada di Australia sejak bulan
Februari 2020.

"Semasa tiba di Kuala Lumpur, saringan ujian RTK Antigen tidak dijalankan kerana beliau telah menjalani saringan COVID-19 di Perth, Australia pada 17 Julai 2020 dan keputusan ujian beliau adalah negatif ujian rT-PCR COVID-19. 

"Kes telah dibawa terus ke pusat kuarantin hotel setelah tiba di Kuching dan telah menjalani saringan COVID-19 pada 21 Julai 2020 dan ujian rT_PCR beliau didapati positif pada 23 Julai 2020 dan kes tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala," katanya pada sidang media mengenai COVID-19 di sini, hari ini.

Uggah berkata, lapan lagi kes adalah hasil pengesanan kontak dari kluster yang masih aktif.

Beliau berkata kesemua kes tersebut telah dikesan melalui saringan aktif ke atas semua kontak di dalam Kluster Sentosa dan semua mereka adalah petugas kesihatan di hospital tersebut yang telah disaring pada 22 Julai 2020.

Beliau berkata mereka terdiri daripada lima orang lelaki dan tiga  orang wanita dalam lingkungan umur di antara 30 hingga 48 tahun dan kesemua kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.

"Setakat hari ini, seramai 643 orang telah disaring dan diambil swab untuk ujian rT-PCR yang melibatkan Kluster Sentosa. Daripada jumlah yang telah disaring tersebut, seramai 16 orang atau sebanyak 2.49 peratus telah didapati positif dengan jangkitan COVID-19. 

"Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan sementara semua kontak telah diberi arahan kuarantin selama 14 hari," katanya.

Uggah berkata, bagi kontak yang melibatkan petugas kesihatan, mereka akan diulang saringan pada hari Ke-3 dan hari Ke-13 sebelum diberi Perintah Pelepasan (Release order) dan kembali bertugas. 

Katanya untuk kontak bukan Petugas Kesihatan, mereka akan diulang saringan pada hari Ke-13 sebelum diberi Perintah Pelepasan (Release order) jika keputusan adalah negatif.
 

  • oleh
  • Advertisement