Anda di sini

JPJ lebih kukuh dengan penyerapan JKJR

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjadi lebih kukuh selepas Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) diserap dengan empat aspek utama aktiviti keselamatan jalan raya telah sempurna disatukan di bawah satu bumbung, kata Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Shaharuddin Khalid (gambar).

Empat aspek utama berkenaan keselamatan jalan raya yang kini di bawah bumbung JPJ itu ialah pendidikan, kejuruteraan, persekitaran dan penguatkuasaan, katanya pada majlis ramah mesra bersama media, di sini hari ini.

"Keempat-empat aspek utama ini merupakan medium berkesan dalam meningkatkan pematuhan masyarakat terhadap undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. Perkara ini amat relatif dalam melestarikan keselamatan jalan raya di negara ini," katanya.

JKJR diserap ke dalam JPJ berkuat kuasa 1 Mei lepas, tanpa melibatkan pembuangan tenaga kerja.

Shaharuddin berkata JKJR berfungsi sebagai agensi sehenti yang bertanggungjawab dalam perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan pembangunan program pendukung keselamatan jalan raya.

Pada majlis itu, Shaharuddin merakamkan penghargaan kepada media yang berperanan sebagai ejen keselamatan jalan raya.

"Sokongan padu daripada pihak media amat diperlukan oleh negara dalam membendung kes nahas jalan raya yang merupakan salah satu daripada pembunuh utama di negara ini," katanya. - Bernama 

Advertisement