Anda di sini

Pelitup muka harus digalakkan di sekolah, bukan pilihan - Macky

Advertisement
 

KUCHING: Penggunaan pelitup muka dalam kalangan pelajar dan warga sekolah harus digalakkan bagi memastikan persekitaran sekolah yang selamat, kata Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Macky Joseph (gambar).

Beliau berkata, meskipun Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan untuk pelajar, namun ia perlu dilakukan demi kesihatan warganya.

"Penggunaan pelitup muka itu tidak sepatutnya dijadikan pilihan kerana di Sarawak kini jumlah jangkitan tempatan COVID-19 yang meningkat.

"Malah, terdapat beberapa sekolah ditangguh pembukaannya bagi mengekang penularan COVID-19 dengan 87 sekolah ditutup di Kuching, 48 di Padawan dan tiga di Kota Samarahan.

"Justeru, aspek keselamatan perlu diberi keutamaan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di luar kawasan sekolah demi memastikan keadaan sentiasa selamat," katanya dalam satu kenyataan.

Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

Menurutnya, disiplin diri juga amat penting  dan harus dilakukan dengan lebih ketat bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

"Sekiranya seseorang merasa sakit atau mengalami gejala penyaki, mereka harus duduk di rumah dan mendapatkan rawatan atau ubat yang betul," katanya.

Individu yang mempunyai simptom juga perlu mengelakkan diri dari hadir ke sekolah agar tidak menjangkiti orang lain.

"Sebaiknya bertindak segera sebelum memasuki pekarangan sekolah," tegas beliau.

Pada 17 Julai,  Ismail dalam kenyataannya berkata, pemakaian pelitup muka untuk pelajar tidak diwajibkan dan pentadbiran sekolah hanya perlu menyediakan sabun atau cecair pembasmi kuman tangan, melakukan saringan gejala serta suhu badan.

Beliau berkata, pentadbiran sekolah hanya perlu menyediakan pelitup muka sekiranya terdapat pelajar atau kakitangan sekolah yang menunjukkan gejala ketika sesi persekolahan.

"Seperti yang ditetapkan dalam Garis Panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pihak sekolah hanya perlu memastikan penyediaan sabun atau pensanitasi tangan, melakukan saringan gejala dan suhu badan.

"Pemakaian pelitup muka adalah tidak diwajibkan dan pihak sekolah hanya perlu menyediakan pelitup muka sekiranya terdapat pelajar atau kakitangan sekolah yang menunjukkan gejala semasa sesi persekolahan," katanya yang dipetik berkata.

  • oleh
  • Advertisement