Anda di sini

SGA alu-alukan kebenaran anjur pertandingan golf

Advertisement
PETER
PETER

KOTA KINABALU: Persatuan Golf Sabah (SGA) menyambut baik kebenaran kepada kelab-kelab golf negara ini menganjurkan pertandingan.

Kebenaran berkuatkuasa serta merta itu diumumkan Persatuan Golf Malaysia (MGA) malam semalam selepas mendapat lampu hijau daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Presiden SGA, Datuk Peter Khoo berkata, kecuali Kerajaan Negeri mempunyai arahan sebaliknya, SGA menasihati semua kelab golf di Sabah untuk mengikutinya.

Bagaimanapun, semua kelab mesti mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh MGA dan Prosedur Operasi Standard (SOP) kerana SGA meletakkan kesihatan dan keselamatan semua pekerja, anggota dan tetamu mereka sebagai yang paling utama.

"Kami telah memberi amaran kepada mereka bahawa jika ada kelab golf yang melanggar atau membiarkan anggotanya melakukan pelanggaran SOP, mereka mungkin akan dikenakan sekatan teruk termasuk sekatan sepenuhnya serta merta," kata Peter dalam kenyataannya.

Katanya, MGA dan SGA komited membantu usaha kerajaan dan Jabatan kesihatan memerangi penularan pandemik wabak COVID-19 di negara ini.

Sambil itu, Peter berkata, pertandingan golf bukan sahaja sumber pendapatan utama bagi kelab golf tetapi ianya memberi peluang kepada pemain golf mempertingkatkan kemahiran serta memperbaiki handikap mereka.

Beliau berkata, kebenaran menganjurkan pertandingan itu tepat pada masanya kerana SGA baru sahaja melancarkan Program Pembangunan Junior dua minggu lalu.

Katanya, latihan pertandingan juga amat penting buat pemain pasukan SUKMA bagi memantapkan prestasi dan mentaliti.

Peter berkata, SGA juga komited memastikan semua kelab golf negeri ini dan pekerja mereka, ahli serta tetamu mereka dapat meneruskan operasi dan bermain golf dengan lancar dan selamat.

  • oleh
  • Advertisement