Anda di sini

Pesalah dadah berulang dipenjara lima tahun, dua sebat

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan terhadap pesalah dadah berulang, seorang lelaki berusia 46 tahun.

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas Voon Chee Tsiung mengaku salah sejurus pertuduhan dibaca terhadapnya.
 
Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didapati positif menggunakan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine pada 18 Januari lalu, jam 7.05 malam di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan

Pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj juga memaklumkan mahkamah yang tertuduh memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

Beliau juga memohon agar hukuman berbentuk pencegahan diberikan kepada tertuduh. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 39C (1) akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara antara lima tahun hingga tujuh tahun serta tidak melebihi tiga sebat.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang juruwang mengaku tidak bersalah apabila didakwa melakukan pecah amanah jenayah berjumlah RM4,600. 

Muhamad Amirul Naim Hasli, 25, dibenarkan bebas dengan ikat jamin mahkamah berserta dua penjamin tempatan oleh Hakim Mohd Taufik Mohd @ Mohd Yusoff serta diarahkan hadir semula ke mahkamah pada 17 Ogos depan untuk pengurusan kes.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah di sebuah syarikat terletak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada 13 Jun lalu. 

Dia didakwa mengikut Sekyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 14 tahun dan dengan sebat serta boleh didenda, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadratun Naim Mohd Saidi. 
 

  • oleh
  • Advertisement