Anda di sini

Pembantu tadbir mengaku tidak bersalah terima suapan RM16,000

Advertisement
 

TAWAU: Seorang pembantu tadbir kewangan yang dituduh menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM16,000 empat tahun lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini.

Imrah Bakalanah, 54, membuat pengakuan itu dan memohon untuk dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pegawai Tadbir Kanan Gred W22, dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Unit Kewangan Hospital Semporna pada 2 November 2015.

Imrah dituduh menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan itu dengan meluluskan proses pembayaran pesanan kerajaan bagi kerja-kerja penyelenggaraan kuarters kerajaan berjumlah RM19,800 kepada syarikat Syarizman Jaya Development pada 2 November 2015.

Bagaimanapun kerja-kerja penyelenggaraan itu dilaksanakan sendiri oleh tertuduh.

Bagi kesalahan itu, Imrah didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tertuduh diwakili peguam Darmin Achok, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SRPM Sabah Clementine Severinus.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan serta beberapa syarat tambahan termasuk tertuduh dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Tawau dua kali sebulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah selain dilarang menganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon budi bicara mahkamah mengurangkan wang jaminan sebanyak RM2,000 kerana tertuduh adalah penjawat awam yang mempunyai pendapatan bersih sebanyak RM600 sebulan selepas ditolak segala hutang selain tanggungan iaitu isteri dan lima anak.

Hakim Abu Bakar kemudiannya memutuskan jaminan RM10,000 dengan RM4,000 deposit dengan seorang penjamin tempatan selain tertuduh dikehendaki mematuhi beberapa syarat tambahan dan menetapkan 4 September depan untuk sebutan semula kes.

  • oleh
  • Advertisement