Anda di sini

Pasangan mengaku tidak bersalah enam pertuduhan palsukan dokumen

Advertisement
 

TAWAU: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan memalsukan dokumen untuk mendapatkan tender menyewa dan mengurus kantin sekolah di Mahkamah Khas Rasuah di sini.

Barmah Wati Hassan, 38, dan suaminya Mohammad Abd Sarakal, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Berdasarkan kertas pertuduhan kedua-dua tertuduh dengan niat secara bersama melakukan semua kesalahan itu pada 25 Januari 2017 di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Semporna.

Tertuduh bersama dengan curang menggunakan suatu dokumen tulen iaitu penyata akaun semasa Maybank Islamic atas nama Syarikat E-Pah Corporation bertarikh 31 Disember 2016 yang mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu adalah palsu.

Kedua-duanya juga dituduh dengan curang menggunakan suatu dokumen tulen iaitu Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat dan Sijil Akuan Syarikat Pendaftaran Bumiputera atas nama syarikat E-Pah Corporation yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa
dokumen itu adalah palsu.

Semua dokumen itu digunakan untuk tujuan menipu bagi mendapatkan tender menyewa dan menguruskan kantin Sekolah Kebangsaan Gelam-Gelam Semporna untuk tempoh dua tahun mulai 1 Februari 2017 hingga 31 Januari 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang sama dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Clementine Severinus manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan menawarkan kedua-dua tertuduh dijamin dengan nilai RM20,000 oleh seorang penjamin tempatan serta beberapa syarat tambahan termasuk tertuduh dikehendaki melapor diri di pejabat SPRM Tawau dua kali sebulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh ketika proses rayuan jaminan memberitahu hanya mempunyai wang RM1,000 bagi membayar jaminan kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

Hakim Abu Bakar kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan deposit masing-masing RM3,000 bersama seorang penjamin tempatan selain tertuduh dikehendaki mematuhi beberapa syarat tambahan dan menetapkan 4 September depan untuk sebutan semula kes.

  • oleh
  • Advertisement