Anda di sini

Masuk Sarawak guna jalan tikus, lima warga Indonesia dipenjara dan disebat 

Advertisement
 

KUCHING: Lima warga Indonesia yang masuk ke Sarawak menggunakan jalan tikus dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah, dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Khas Kes Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang bersidang di Kem Semuja, dekat sini pada 15 Julai lalu.

Hakim Afidah Abdul Rahman juga menetapkan kesemua lelaki yang bekerja di tapak binaan itu masing-masing dikenakan dua sebatan.

“Kesemua tertuduh bakal dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan penghantaran pulang ke negara asal mereka sebaik selesai menjalani hukuman penjara kelak,” ujar Afidah dalam menjatuhkan hukum. 

Iswandi Rusdi, 32, Hendri, 19, Peri, 21, Nurdin Akil, 53 dan Eric Bahri, 35, masing-masing mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. 

Mengikut kertas pertuduhan, mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah pada 13 Jun lalu, jam 12.40 tengah malam di Jalan Simpang Kampung Pasir Tengah, Lundu. 

Berdasarkan fakta kes, pihak berkuasa mendapati lima lelaki yang berada di dalam sebuah kenderaan telah mengemukakan dokumen perjalanan dan pasport tetapi ia tidak memaparkan sebarang cop kemasukan. 

Hasil siasatan juga mendapati setiap tertuduh dikatakan membayar seorang lelaki, Erry Eafandy Thamrin, 29, sejumlah RM600 untuk setiap perjalanan ke Kuching. 

Erry pula didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 di Mahkamah Sesyen pada 9 Julai lalu kerana melakukan kesalahan menyeludup migran. 

Iswandi, Hendri dan Peri diwakili peguam, Lim Lian Kee manakala tertuduh selebihnya tidak diwakili peguam. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Eric Tan. 
 

  • oleh
  • Advertisement