Anda di sini

Atlet renang SUKMA Sabah kembali berlatih di kolam renang

Advertisement
 Antara perenang SUKMA Sabah yang kembali berlatih di Pusat Akuatik KSKK.
BALIK: Antara perenang SUKMA Sabah yang kembali berlatih di Pusat Akuatik KSKK.

KOTA KINABALU: Atlet renang Sukan Malaysia (SUKMA) Sabah kembali memulakan program latihannya selepas lebih tiga bulan tidak dibenarkan berlatih di kolam renang ekoran pandemik wabak COVID-19 yang membawa kepada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini sejak 18 Mac lalu.

Setiausaha Persatuan Sukan Akuatik Sabah (SASA), Cynthia Chin berkata, semua atlet SUKMA mereka telah kembali berlatih di bawah bimbingan jurulatih di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Kota Kinabalu (KSKK) dan Sandakan sejak 7 Julai lalu.

Jurulatih renang yang telah dilantik  bagi menghadapi SUKMA di Johor tahun depan ialah Elvin Chia, Sean Goh, Benjamin Lee dan Tie Mee Kong dari Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah serta Yap Jia Jun dari Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS).

Sembilan atlet renang yang sudah mengesahkan tempat dalam senarai ke SUKMA ialah Loo Yie Bing, Thien Oi Yee dan  Gerard Tsen  yang berpusat di Sandakan serta Lovell Wong,  Chu Xin Ying, Janice Lai, Janetty John Fabian, Cheng Ka Man dan Yong Xing Ru yang berpusat di sini.

"Sembilan atlet itu berlatih bersama perenang lain dalam senarai yang diberi peluang sehingga Disember depan untuk mendapat tempat dalam skuad ke SUKMA.

"Selepas beberapa bulan, tentunya amat baik untuk kami dapat memulakan semula program latihan. Kredit perlu diberi kepada semua jurulatih yang perlu menambah waktu kerja dengan mengubahsuai jadual program latihan ekoran jadual baru persekolahan yang kini ada sesi pagi dan petang," katanya.

Cynthia berkata, langkah juga akan diambil bagi memastikan kesihatan dan keselamatan perenang terjaga.

"Semua yang ambil bahagian mesti ada kebenaran dari ibu bapa sebelum dibenarkan berlatih. Kami juga menghadkan jumlah perenang di setiap lorong. Buat masa ini, hanya atlet SUKMA yang dibenarkan berlatih untuk tempoh yang lebih lama manakala masa latihan bagi kelab-kelab dihadkan kepada sejam sahaja," katanya.

Menurutnya, selain atlet SUKMA, terdapat 34 atlet renang lagi di bawah Program Pelapis turut telah kembali menjalani latihan bersama jurulatih masing-masing iaitu Eric Chan di Kota Kinabalu, Jeannyvie Joh Fabian (Penampang) dan Cynthia Liew (Sandakan).

Cynthia Chin yang juga Ahli Bebas Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) berterima kasih kepada Lembaga Sukan Sabah (LSS) kerana menyediakan kemudahan dan MSN Sabah yang terus memberi sokongan termasuk membolehkan program latihan mereka dapat diadakan semula dengan lancar.

Beliau juga berterima kasih kepada semua jurulatih dan ibu bapa yang memberikan komitmen terutama untuk atlet renang meneruskan latihan di rumah sepanjang PKP.

Sambil itu, atlet Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kelainan Upaya Sabah (PESRON) juga telah kembali memulakan program latihan mereka dalam persediaan menghadapi beberapa kejohanan utama tahun depan seperti Sukan Paralimpik Tokyo, Sukan Para Asia Vietnam dan Para SUKMA Johor.

  • oleh
  • Advertisement