Anda di sini

Hukuman penjara bapa rogol anak dikurangkan dari 115 kepada 45 tahun

Advertisement
Tertuduh mendengar penjelasan daripada peguam mengenai keputusan hakim hari ini.
Tertuduh mendengar penjelasan daripada peguam mengenai keputusan hakim hari ini.

KUCHING: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini mengetepikan hukuman penjara 115 tahun yang dikenakan terhadap seorang bapa yang merogol serta mencabul anaknya dan menggantikan hukuman tersebut kepada penjara 45 tahun.

Panel tiga hakim iaitu hakim Datuk Yaacob Md Sam bersama hakim Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Supang Lian sebulat suara menerima rayuan lelaki berusia 52 tersebut, namun mengekalkan hukuman 20 sebatan yang dikenakan terhadap tertuduh sebelum ini.

“Seksyen 289(c) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) menetapkan hukuman sebat tidak boleh dikenakan kepada pesalah berusia 50 tahun ke atas. 

“Namun, tertuduh berusia 50 tahun ketika dijatuhkan hukum. Justeru, mahkamah berpendapat hukuman ini harus dikekalkan,” ujar Datuk Yaacob menerusi prosiding yang dijalankan secara atas talian menerusi persidangan video pada hari ini. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang petani didakwa merogol anaknya kali pertama ketika mangsa berusia 12 tahun di sebuah pondok di kebun kelapa sawit di sebuah kampung di Kabong pada September 2014.

Perbuatan tersebut kemudian diulangnya sehingga mangsa mencecah usia 15 tahun serta dilakukannya di beberapa tempat seperti di sebuah hotel di Saratok dan di bilik tidur di rumah mereka yang terletak di Kabong, masing-masing dalam kejadian berasingan pada tahun 2015 dan 2017.

Tertuduh juga didakwa merogol mangsa ketika berada dalam kereta di tepi jalan, Kampung Sebuyau, Sri Aman pada Julai 2017, selain dituduh mencabul anaknya di tandas rumah pada tahun yang sama. 

Pada September 2017, tertuduh yang mengaku bersalah apabila didakwa atas lima pertuduhan di bawah Seksyen 376 B (1) Kanun Keseksaan kerana merogol, dikenakan hukuman penjara 22 tahun dan empat sebatan bagi setiap pertuduhan. 

Mahkamah Sesyen pada ketika itu mengarahkan agar hukuman berjalan secara serentak. 

Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul pula, dia dipenjara lima tahun.

Namun, pihak pendakwaan kemudian membuat rayuan mengenai sabitan hukuman tersebut dan Mahkamah Tinggi menetapkan hukuman penjara dijalankan secara berturutan, mengakibatkan tertuduh berhadapan hukuman penjara 115 tahun. 

Pada hari ini pula, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, Simon Siah dalam penghujahannya berkata, hukuman sebelum ini yang dikenakan terhadap tertuduh hendaklah dijalankan secara serentak dengan mengambil kira faktor usia tertuduh.

“Berdasarkan peratusan dan statistik, purata jangka hayat kaum lelaki di negara ini adalah lebih kurang 70 tahun. 

“Tertuduh kini berusia 52 tahun dan mungkin tidak akan hidup lama untuk menjalani hukuman tersebut,” ujarnya semasa prosiding. 

Pendakwaan hari ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail.

  • oleh
  • Advertisement