Anda di sini

COVID-19: Kuching kembali kuning selepas dua kes positif baharu direkodkan

Advertisement
 

KUCHING: Status hijau Sarawak kembali bertukar kuning apabila dua kes positif baharu COVID-19 dilaporkan hari ini di daerah Kuching. 

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak setakat hari ini sebanyak 575 kes. 

"Dengan pelaporan dua kes baharu tersebut, status kod warna bagi daerah Kuching telah bertukar dari warna Hijau kepada status warna Kuning. 

"Ini menjadikan jumlah daerah di Sarawak berstatus kuning ialah satu daerah dan yang berwarna hijau ialah sejumlah 39 daerah," katanya. 

Mengulas lanjut kes itu, jelasnya, kes pertama ialah kes yang ke-574 melibatkan seorang lelaki warga tempatan yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 5 Julai 2020 kerana mengalami sesak nafas dan kelesuan sejak 1 Julai 2020. 

"Beliau dimasukkan ke wad isolasi. Beliau juga merupakan pesakit Diabetes Melitus dan mengalami masalah darah tinggi. 

"Ujian makmal RT-PCR COVID-19 mendapati beliau adalah positif pada 9 Julai 2020," katanya. 

Menurut JPBNS, kes kedua iaitu kes yang ke-575,  seorang wanita warga tempatan yang bekerja di sebuah syarikat konsultan kejuruteraan di Kuching. 

Beliau telah mendapatkan rawatan di HUS pada 7 Julai 2020 dan dimasukkan ke wad perubatan perempuan kerana mengalami sakit dada dan batuk kering. 

Dedahnya, saringan awal COVID-19 pada 7 Julai 2020 mendapati beliau adalah positif untuk ujian RTK Antibody. 

"Ujian makmal RT-PCR COVID-19 mendapati beliau adalah positif pada 9 Julai 2020.

"Kedua-dua kes ini merupakan kes 'Severe Acute Respiratory Infection' (SARI) yang berkemungkinan mendapat jangkitan tempatan kerana kedua-dua mereka tiada sejarah perjalanan ke luar negara," jelasnya. 

Tegas JPBNS, pengesanan kontak kes telah dijalankan dan kontak-kontak kes ini telah di kenalpasti. 

"Untuk kes Ke-574, kontak adalah merupakan ahli keluarga terdekat sahaja, manakala untuk kes Ke-575, seramai 30 orang kontak telah dikenalpasti dan diberikan arahan kuarantin serta menjalani saringan," tambahnya. 

Jelasnya lagi, tempat kerja bagi kes ke-575 telah ditutup sementara untuk tujuan disinfeksi. 

"Punca jangkitan bagi kedua-dua kes masih dalam siasatan," ujarnya. 

JPBNS dalam pada itu memaklumkan, terdapat satu kes baru yang telah sembuh dan discaj dari Hospital Sibu hari ini. 

Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah sembuh dan discaj kekal sebanyak 552 orang atau 96 peratus. 

"Seramai enam orang masih menerima rawatan dalam wad isolasi hospital dan jumlah kematian kekal 17 orang. Hari ini sebanyak 43 orang yang disyaki (PUI) baru dilaporkan," ujarnya. 

Pada hari ini, seramai 73 orang di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 11 buah hotel adalah seramai 504 orang.

Manakala seramai 18,227 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin.

  • oleh
  • Advertisement