Anda di sini

Kanak-kanak perempuan maut nahas motosikal, kereta

Advertisement
Keadaan cermin penumpang hadapan kereta berkenaan pecah dalam kemalangan tersebut.
Keadaan cermin penumpang hadapan kereta berkenaan pecah dalam kemalangan tersebut.

KUCHING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia dalam  kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce berhampiran Hospital Umum Sarawak (HUS), pada Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata mangsa Tania Tia Phua disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan HUS pada jam 1.15 pagi.

Dalam kejadian itu katanya, mangsa membonceng motosikal bersama ibu bapa serta adiknya yang berusia lima bulan apabila mereka berlanggar dengan sebuah kereta yang dikatakan membelok masuk ke Jalan Hospital sekitar jam 12 tengah malam.

"Mereka semasa kejadian bergerak lurus dari pusat bandar dan melanggar sebuah kereta yang membelok masuk ke Jalan Hospital iaitu di persimpangan lampu isyarat tersebut.

"Keluarga terbabit yang beralamatkan dari Kampung Temong Mura, Serian kemudian dikejarkan ke HUS untuk rawatan sebelum mangsa yang semasa kejadian duduk di hadapan motosikal disahkan meninggal dunia," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ibu bapa serta adik mangsa, sehingga berita ini ditulis, dilaporkan masih menerima rawatan di HUS.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pemandu kereta juga telah ditahan dan diambil sampel darah untuk analisis alkohol dalam darah sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas dirakam percakapan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement