Anda di sini

Ruang pemain muda timba pengalaman

Advertisement
 Penyerang muda, Amir Amri Salleh (kiri) kini diserapkan dalam skuad Kuching FA. 
KHIDMAT DIPERLUKAN: Penyerang muda, Amir Amri Salleh (kiri) kini diserapkan dalam skuad Kuching FA. 

KUCHING: Empat pemain muda dari skuad Piala Presiden diserap masuk ke kem senior, Kuching FA dalam persiapan pasukan itu menghadapi Liga Perdana Malaysia yang dijadualkan bermula kembali September nanti.

Mereka ialah Haziq Rahimi Iskandar (pertahanan), Diego Baggio Test (tengah), Amir Amri Salleh (penyerang) dan Amirul Iqmal Bolhi (penyerang).

Penolong Jurulatih Piala Presiden Kuching FA, Firdaus Morshidi berkata ia satu kebanggaan buat pengurusan Kuching FA apabila empat pemain muda dari skuad Piala Presiden diserap ke dalam skuad senior ketika ini.

“Pengurusan bersetuju menyerap empat pemain muda itu memandangkan saingan Piala Presiden 2020 ditamatkan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19.

“Justeru, saya percaya tiada masalah bagi mereka menyesuaikan diri dalam skuad senior Kuching FA,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Bagaimanapun, Firdaus memberitahu tampak sukar untuk empat pemain muda itu merebut tempat dalam barisan utama memandangkan pemain senior yang ada adalah berpengalaman.

Namun, katanya, apa yang penting pemain-pemain muda terbabit harus menggunakan peluang yang ada untuk memperbaiki prestasi masing-masing.

“Mereka harus menggunakan peluang berlatih bersama pemain-pemain senior dengan sebaiknya.

“Inilah masa terbaik bagi mereka untuk meningkatkan prestasi masing-masing selain mendapat pengalaman berharga daripada pemain-pemain berpengalaman,” jelasnya.

Skuad Kuching FA sudahpun menyambung semula sesi latihan seperti biasa selepas semua pemain dan pegawai pasukan itu bebas daripada COVID-19 serta mendapat kebenaran daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Sesi latihan dibahagi kepada beberapa kumpulan berpandukan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

  • oleh
  • Advertisement