Anda di sini

Kerajaan PN utamakan rakyat dan keselamatan negara

Advertisement
 Dr Abdul Latiff (empat kiri) menyerahkan replika cek untuk petugas barisan             hadapan Lawas kepada Pegawai Daerah Lawas Ladin disaksikan (dari kiri) Ahmad Denney,  Dr Abdul Rahman, Awang Tengah dan Henry.
BARISAN HADAPAN: Dr Abdul Latiff (empat kiri) menyerahkan replika cek untuk petugas barisan hadapan Lawas kepada Pegawai Daerah Lawas Ladin disaksikan (dari kiri) Ahmad Denney, Dr Abdul Rahman, Awang Tengah dan Henry.

LAWAS: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengamalkan pemerintahan berpaksikan rakyat dan mengutamakan keselamatan negara khususnya ketika mengendalikan penularan pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Te-ngah Ali Hasan berkata PN turut tampil dengan langkah-langkah kawalan keselamatan rakyat melalui arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga PKP Pemulihan (PKPP) dalam menangani cabaran penularan COVID-19.

“Selain menangani penularan COVID-19, kerajaan PN juga dapat memastikan ekonomi negara dipulihkan segera melalui langkah-langkah awal semasa PKP dan sektor lain tanpa menjejas teruk kehidupan majoriti rakyat,” ujarnya pada Majlis Makan Malam Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Pemimpin Masyarakat Lawas di Hotel Seri Malaysia Lawas, malam kelmarin.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Henry Sum Agong dan Menteri Muda Pemodenan Pertanian Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Ban-dar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Per-industrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata atas usaha ini, melalui kerja-sama dengan PN, Sarawak yakin terus bergerak maju mencapai aspirasi negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030.

Beliau berkata, kerajaan PN hanya memerlukan tiga bulan untuk menghidupkan semula beberapa projek besar yang penting untuk rakyat di Sarawak khususnya di daerah Lawas.

“Dalam masa tiga bulan selepas menerajui kerajaan pusat di persekutuan, daerah Lawas telah berjaya memiliki sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan hospital baharu yang akan memulakan kerja perlaksanaan dalam tempoh terdekat,” katanya lagi.

Awang Tengah juga mahu agar peruntukan projek bekalan air luar bandar dan projek elektrik luar bandar untuk Sarawak diaktifkan kembali.

“Ini kerana sepanjang PH memerintah di peringkat kerajaan pusat, semua projek rakyat khususnya untuk bekalan air dan elektrik telah dihentikan.

“Perkara sama juga dilakukan terhadap projek pembinaan jalan raya, jambatan, komunikasi dan sebagainya telah dihentikan atas alasan yang direka sendiri oleh PH,” katanya.

Jelasnya, Sarawak terpaksa menggunakan dana sendiri berjumlah berbilion ringgit untuk meneruskan projek rakyat ini demi memastikan rakyat terbela.

  • oleh
  • Advertisement