Anda di sini

Dua negeri AS buang ‘simbol properhambaan’

Advertisement
 Patung jeneral Konfederat, Thomas ‘Stonewall’ Jackson, dialihkan dengan kren di Richmond Virginia pada Rabu lepas. — Gambar AFP
ALIH: Patung jeneral Konfederat, Thomas ‘Stonewall’ Jackson, dialihkan dengan kren di Richmond Virginia pada Rabu lepas. — Gambar AFP

WASHINGTON: Satu kempen di Amerika Syarikat untuk membuang simbol bagi selatan negara yang properhambaan pada zaman Perang Saudara mendapat momentum Rabu lepas apabila pekerja mula menurunkan patung di bandar raya Virginia itu yang dahulu merupakan ibu kota Konfederat manakala Mississippi berhenti menggunakan bendera negeri.

Pekerja di Richmond, Virginia, menurunkan patung Thomas ‘Stonewall’ Jackson, seorang jeneral Konfederat, selepas datuk bandar di sana mengarahkan “pengalihan segera” tugu Konfederat.

Di Jackson, Mississippi, bendera negeri diturunkan buat selama-lamanya dari bangunan kerajaan negeri dan dibawa ke sebuah muzium berdekatan. Bendera nege-ri Mississippi merupakan panji negeri terakhir di AS yang memaparkan lambang Konfederat.

Datuk Bandar Richmond Levar Stoney berkata dia menggunakan kuasa daruratnya untuk mengalih tugu Konfederat bagi “mempercepatkan proses penyembuhan untuk bandar raya ini”.

“Ia sudah melepasi masa,” kata Stoney. “Sebagai ibu kota Virginia, kita sudah berdekad-dekad perlu menutup lembaran ini.”

Datuk bandar itu berkata sebagai ibu kota Selatan pada zaman Perang Saudara 1861-65, Richmond telah “dibebani legasi itu”.

“Berat beban itu yang hebat telah jatuh ke atas penduduk kita yang berkulit gelap,” tambah Stoney.

“Patung ini, walaupun simbolik, telah membayangi impian anak-anak kita yang berkulit gelap.

“Dengan mengalihnya, kita dapat memulakan penyembuhan dan menumpukan perhatian kita kepada masa depan kita.”

Stoney menganggap langkah itu sebagai “bayaran pendahuluan” dan bukan “penyelesaian” kepada ke-tidakadilan kaum di bandar raya itu dan seluruh Amerika.

Dia berkata patung itu turut mengemukakan ancaman kepada keselamatan awam kerana penunjuk perasaan cuba menumbangkannya sewaktu pandemik koronavirus.

Kru kerja kelihatan dalam rakaman televisyen mengalih patung Jackson di Monument Avenue, seorang warga Virginia yang meninggal dunia pada Mei 1863.

Beberapa ratus orang bersorak apabila patung Jackson yang menunggang kuda diangkat dari kekaki batunya oleh sebuah kren.

Patung komander Konfederat Robert E. Lee yang berhampiran telah menjadi tumpuan utama bagi protes dan telah diliputi slogan se-perti “Black Lives Matter”.

Banyak tugu Konfederat telah diserang, dan ada yang telah ditumbangkan, sejak sebulan lalu selepas penunjuk perasaan yang menentang keganasan polis ke atas warga Afrika Amerika menyasari simbol bagi legasi perhambaan di negara itu.

Presiden Donald Trump menentang pemindahan patung tersebut dan Jabatan Keselamatan Tanah Air me-ngumumkan sebuah pasukan petugas baharu yang khas pada Rabu lepas untuk melindungi tugu bersejarah di seluruh negara.

Di Mississippi, seorang pengawal kehormat menurunkan tiga bendera negeri yang berada di atas hartanah kerajaan negeri, melipatnya dan menyerahkannya kepada pegawai kerajaan negeri.

Ia kemudian dibawa oleh konvoi kereta ke sebuah muzium berdekatan di mana panji berusia 126 tahun itu akan menjadi bahan sejarah.

Tindakan itu diambil sehari selepas Gabenor Tate Reeves menandatangani rang undang-undang untuk mengarahkan penurunan bendera tersebut.

“Hari ini kita menerima masa lampau kita, dan kita melihat ke masa depan kita,” kata Speaker Dewan Mississippi, Philip Gunn, yang memainkan peranan penting dalam usaha untuk menurun-kan bendera itu.

“Kita ada banyak perkara untuk dibanggakan, dan banyak perkara untuk diambil kira,” kata Gunn, yang menambah bagi sebahagian warga Mississippi, bendera itu telah “menjadi bayang-bayang yang menyelubungi perjuangan mereka untuk membebaskan diri”.

Ramai warga Afrika Amerika percaya bendera itu membawa konotasi rasis, manakala segelintir orang putih di selatan negara berkata ia adalah simbol bagi warisan bahagian selatan.

Sebuah suruhanjaya telah ditugaskan untuk memilih reka bentuk baharu bagi bendera negeri, yang mesti memaparkan kata-kata “In God We Trust”.

Rakyat Mississippi, hampir 40 peratus daripada mereka adalah orang Afrika Amerika, akan mengundi bagi reka bentuk itu pada November.

Mississippi merupakan satu-satunya negeri Amerika yang masih memaparkan panji Konfederat pada ben-dera rasminya, selepas Georgia menggugurkannya pada 2003.

Usaha untuk mengalih tugu Konfederat mendapat momentum selepas seorang aktivis ketuanan orang putih menembak mati sembilan orang Afrika Amerika di sebuah gereja di Charleston, Carolina Selatan, pada 2015 dan ia meningkat lagi ekoran kematian George Floyd, seorang lelaki Afrika Amerika yang dibunuh oleh seorang anggota polis berkulit putih pada 25 Mei lalu di Minnea-polis. — AFP

Advertisement