Anda di sini

Atap rumah terbang dibadai angin kuat

Advertisement
 Keadaan rumah keluarga terbabit selepas atapnya diterbangkan angin kencang, petang kelmarin.
MUSIBAH: Keadaan rumah keluarga terbabit selepas atapnya diterbangkan angin kencang, petang kelmarin.

LAWAS: Sebuah keluarga mengalami kerugian kira-kira RM20,000 selepas atap rumah mereka diterbangkan angin, selain kerosakan siling rumah di Kampung Balai, Trusan petang kelmarin.

Kejadian sekitar jam 1.30 petang itu berlaku ketika tiga penghuninya sedang berehat di rumah sebelum angin kuat membadai dan menerbangkan hampir keseluruhan atap rumah mereka.

Menurut pemilik rumah Alimah Sitam, 58, kejadian berlaku ketika beliau bersama dua daripada tiga anaknya yang berusia 23 dan 18, sedang berehat di rumah.

“Ketika berehat, kami mendengar bunyi kuat yang datang secara tiba-tiba dan menerbangkan atap rumah selain menumbangkan dua pokok besar di hadapan dan belakang rumah.

“Kejadian itu juga menyebabkan kerosakan di bahagian siling rumah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas Zaki Husin berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat daripada ketua masyarakat pada jam 2.40 petang.

“Pihak bomba bergegas ke lokasi bagi memastikan keadaan adalah selamat dan menasihati penghuni yang terlibat supaya tidak mendiami rumah tersebut demi keselamatan mereka dan berpindah buat sementara di rumah jiran,” katanya lagi.

Zaki memberitahu seramai tujuh anggota membabitkan dua kenderaan turut berada di lokasi yang jauhnya 21 kilometer dari balai.

“Kita cuma pantau lokasi kejadian untuk memastikan tiada bahaya lain.

“Setakat ini, kita tiada terima laporan berhubung penghuni yang cedera akibat kejadian itu,” katanya.

Jelasnya, anggotanya bertolak balik ke balai jam 3.55 petang sebaik mendapati keadaan di lokasi selamat.

  • oleh
  • Advertisement