Anda di sini

Tiada bayangan dan petunjuk mengenai PRN12

Advertisement
 Abang Johari (tengah) meninjau perkembangan projek Jambatan Kuala Kemena-Jepak. Turut kelihatan Julaihi (kanan), menteri-menteri kabinet negeri, pihak JKR dan pemaju di kawasan tapak projek semalam.
AMBIL TAHU: Abang Johari (tengah) meninjau perkembangan projek Jambatan Kuala Kemena-Jepak. Turut kelihatan Julaihi (kanan), menteri-menteri kabinet negeri, pihak JKR dan pemaju di kawasan tapak projek semalam.

BINTULU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak memberikan sebarang bayangan dan petunjuk tentang bila Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) bakal diadakan.

Sebaliknya beliau kini memfokus kepada usaha memastikan projek-projek pembangunan untuk faedah rakyat di negeri ini diberi tumpuan serta dapat disiapkan dan dilaksana dengan sebaiknya.

“Bila pilihan raya saya tidak pasti, saya masih sibuk dengan projek metanol,” ujarnya semasa ditanya media tentang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)  dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak akan bertanding di Sarawak dalam PRN12 yang akan datang.

Beliau ditanya media pada sidang media semasa melawat tapak Projek Loji Metanol Sarawak di kawasan seluas 34 hektar di Similajau, Tanjung Kidurong semalam.

Sebelum itu, presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing dalam kenyataannya turut menyebut perkara tersebut(BERSATU dan PAS) yang dijamin Presiden BERSATU sendiri yang juga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti mereka tidak akan bertanding pada PRN12 Sarawak ketika mesyuarat semua pemimpin 12 parti yang membentuk kerajaan persekutuan sekarang di Putrajaya, kelmarin.

Mengenai perjumpaan dengan Perdana Menteri, Abang Johari berkata: “PM panggil, saya datang, minum-minum adalah cakap sikit-sikit tetapi saya ada memperkatakan kepada beliau yang GPS akan memberi sokongan kepada kerajaan pusat kerana kita berkehendakkan sebuah kerajaan yang stabil.

“Malaysia pada masa ini menghadapi banyak cabaran, satunya COVID-19 belum selesai, nombor duanya ekonomi (negara) belum begitu baik.

“Yang hendak berebut-rebut jawatan Perdana Menteri, apa hal?

“Perdana Menteri dah ada di situ, rakyat berkehendakkan kerajaan yang stabil, kita tumpukan kepada (menjaga kebajikan) rakyat,” katanya.

Beliau berkata, apa yang disebutkannya ialah pada masa ini kita memerlukan kerajaan yang dapat diurus dengan baik dan beliau datang ke sini pula adalah  untuk melihat masa depan rakyat di sini yang cerah( melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan untuk rakyat dan negeri ini).

“Kalau kita bergaduh-gaduh macam ini (berebut jawatan PM), kita juga rugi, jadi kita datang jumpa PM semalam kita ingin mengatakan bahawa GPS akan tetap berada di belakangnya (Muhyiddin) dan kita ingin kerajaan yang stabil di Malaysia dan mahukan masa depan rakyat di Malaysia cerah,” katanya.

Sebelum itu Abang Johari menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) di Hotel Fairfield by Marriott Bintulu Paragon seterusnya melawat tapak projek rakyat Jambatan Kuala Kemena-Jepak yang dihadiri pengurusan kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Turut mengiringi beliau Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang Undang dan Adat Bumiputera) Datuk John Sikie Tayai, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain.

  • oleh
  • Advertisement