Anda di sini

Kegagalan JBALB jejas usaha pembangunan kerajaan

Advertisement
BOHARI
BOHARI

LAWAS: Kegagalan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menangani masalah air di Kampung Punang dan sekitarnya akan menyebabkan segala usaha kerajaan untuk menyalurkan projek pembangunan kepada rakyat di daerah ini terjejas.

Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB)Ranting Punang Bohari@Awang Damit Awang Lair berkata, kerajaan negeri melalui Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sudah berusaha memohon peruntukan kewangan di peringkat negeri mahupun pusat untuk projek infrastruktur, ekonomi dan kemudahan awam yang bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan penduduk.

Beliau berkata, usaha itu hanya sia-sia jika JBALB tidak dapat memberikan komitmen dalam soal pelaksanaan projek air di Punang yang merupakan keperluan asas penduduk.

“Dalam proses pelaksanaan JBALB harus memainkan peranan sebagai ejen pelaksana untuk merealisasikan aspirasi kepimpinan kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan yang  dirancang pemimpin kami Datuk Amar Awang Tengah.

“Semua projek harus berjalan dengan lancar tanpa ada yang tertangguh atau gagal dan kami tidak ada soal kompromi dalam isu masalah air ini,” katanya melalui kenyataan media semalam.

Tambahnya, JBALB merupakan satu agensi kerajaan yang disifatkan gagal mencapai matlamat dan visinya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari khususnya Kampung Punang.

Bohari berkata, projek ‘sakit’ secara langsung akan merugikan kerajaan dan rakyat.

“Kegagalan kontraktor untuk menyiapkan projek tersebut bukanlah satu alasan untuk menyelamatkan imej JBALB dari kaca mata penduduk.

“Kami menuntut supaya JBALB dapat bekerjasama dan membantu wakil rakyat kami dalam melaksanakan segala yang sudah dirancang sebelum ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Pasukan Bertindak Bekalan Air Punang sudah ditubuhkannya di peringkat zon Punang bertujuan memantau dan memastikan perjalanan projek berjalan dengan lancar.

“Saya harap pihak JBALB, kontraktor dan konsultan dapat memberikan kerjasama dan komitmen sepenuhnya dalam menyelesaikan masalah air di Kampung Punang.

“Punang sebagai salah satu kubu kuat PBB di DUN Bukit Sari selama ini akan terus memberi sokongan padu kepada pemimpin kami Datuk Amar Awang Tengah atas usaha murni beliau dan kami akan pastikan beliau tidak akan bersendirian sejajar dengan slogan ‘Punang Kusayang, YB Kukenang’,” ujarnya.

Advertisement