Anda di sini

Baja, racun perosak dicadang dibawah senarai mekanisme kawalan harga - Uggah

Advertisement
Uggah (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada Alexander (dua kiri) sambil disaksikan oleh  Stanley (kiri) dan Hasnol (kanan) di pejabatnya, hari ini.
Uggah menyampaikan cenderamata kepada Alexander (dua kiri) sambil disaksikan oleh Stanley (kiri) dan Hasnol (kanan) di pejabatnya, hari ini.

KUCHING:Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah mencadangkan agar barang pertanian seperti baja dan racun perosak disenaraikan di dalam mekanisme Kawalan Harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Kata beliau, menerusinya harga barangan tersebut boleh didapati pada harga yang lebih berpatutan serta dapat mengurangkan beban yang dihadapi oleh petani yang tinggal di kawasan pedalaman negeri ini.

"Pada masa ini, sekiranya barang keperluan pertanian tersebut sampai ke kawasan pedalaman negeri, harganya lebih mahal kerana terpaksa menambah kos pengangkutan yang dikenakan.

"Jika IA berada di bawah mekanisme kawalan harga, petani akan menikmati harga standard sama seperti di kawasan bandar," katanya ketika menerima kunjungan daripada Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi, hari ini.

Uggah turut menyarankan agar perkhidmatan logistik yang dibiayai kementerian itu untuk sama membantu membawa hasil pertanian dari kawasan pedalaman negeri ini bagi pasaran ke kawasan bandar.

"Ia lebih baik sekiranya perkhidmatan logistik ini berupaya membantu membawa hasil tani petani memandangkan lori mereka juga kosong semasa dalam perjalanan pulang sekaligus ia boleh menjimatkan kos pengangkutan," tambahnya.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED) turut menyatakan bahawa beliau akan menulis secara rasmi kepada KPDNHEP untuk mendapatkan kerjasama berkenaan.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, kementeriannya kini sedang dalam proses memodenkan sektor pertanian di negeri ini.

 "Sarawak kaya dengan tanah tetapi petani hanya mengadakan pertanian secara kecil-kecilan.

 "Situasi ini perlu berubah dan mereka kita sarankan untuk mencuba pertanian moden secara komersial untuk meningkatkan produktiviti dalam kuantiti yang lebih banyak.

 "Pihak kami sudah mempunyai rancangan strategik untuk itu selain memenuhi standard keselamatan makanan antarabangsa sehingga kami dapat mengeksport ke pasaran global.

Beliau  menjelaskan bahawa  Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini telah menugaskan kementeriannya untuk menerajui transformasi pemodenan pertanian negeri.

"Beliau (Abang Johari) juga membayangkan negari menjadi pengeksport makanan dan produk makanan menjelang 2030," katanya.

Di dalam pertemuan itu beliau juga mengucapkan penghargaan terhadap usaha Pengarah KPDNHEP Sarawak,  Dato Stanley Tan dalam memastikan bekalan makanan di Sarawak sentiasa mencukupi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu akibat pandemik COVID-19.

Sementara itu, Alexander dalam ucapannya menyatakan kesudian untuk bekerjasama dengan MANRED dalam mempromosikan produk tempatan dan dalam hal-hal lain yang berkaitan.

Kementeriannya juga telah bersetuju dengan penubuhan pejabat cawangan KPDNHEP di Betong dan Serian untuk membantu memantau harga barang-barang keperluan terutama sebelum musim perayaan tiba.

Turut hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Dato Roslan Mahayudin, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Lidam Assan dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Dr Richard Rapu.
 

Advertisement