Anda di sini

Beberapa lokasi akan dipertimbangkan sebagai tapak operasi trak bergerak

Advertisement
 Foo (dua kiri), Sairullizam (tengah), Tan (kiri), Adi (dua kanan) dan Ngan (kanan) merakamkan gambar kenangan selepas perbincangan berkenaan.
KENANGAN: Foo (dua kiri), Sairullizam (tengah), Tan (kiri), Adi (dua kanan) dan Ngan (kanan) merakamkan gambar kenangan selepas perbincangan berkenaan.

KOTA KINABALU: Beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini telah dikenal pasti untuk dipertimbangkan sebagai tapak membangunkan operasi trak bergerak.

Presiden Persatuan Trak Bergerak SME Sabah (SSMTA) Foo Ngee Kee berkata, perkara itu diputuskan selepas mengadakan perbincangan bersama Pengarah Jabatan Perlesenan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Sairullizam Sukor.

"Baru-baru ini kita telah mengadakan perbincangan untuk mengetahui terma dan syarat serta perundangan berkaitan dengan permohonan bagi mewujudkan tapak operasi trak bergerak.

"Keputusannya beberapa lokasi telah dikenal pasti untuk dipertimbangkan untuk tujuan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah berkata, perbincangan itu membawa kepada perkongsian isu-isu dihadapi oleh pihak DBKK berkenaan perniagaan trak bergerak seumpamanya sebelum ini.

Katanya, menurut Sairullizam, isu utama yang dihadapi terhadap kegagalan sebelum ini adalah tidak ada satu kesatuan atau persatuan diwujudkan bagi mengurus serta memberikan latihan kepada para pengusaha trak bergerak.

"Oleh itu, SSMTA boleh menyediakan satu platform rangkaian perniagaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi pengusaha trak bergerak, selain membantu memberikan nasihat kepada para pengusaha berkenaan.

"SSMTA diwujudkan untuk menyediakan perkhidmatan nasihat kepada para ahlinya dalam perniagaan trak bergerak serta perkara berkaitan dengannya," katanya.

Selain itu katanya, SSMTA juga mempunyai objektif untuk menyatukan persatuan atau kumpulan pengusaha trak bergerak di Sabah agar mampu saling bertukaran maklumat, perbincangan peluang perniagaan, proses perniagaan serta kelebihan dalam rantaian pembekalan.

Hadir sama dalam mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Presiden SSMTA Tan Kai Teck, Naib Presiden SSMTA Ngan Yoke Loo, Ketua Jabatan Perlesenan DBKK Adi Herman Karim serta tetamu kehormat yang lain.


 

  • oleh
  • Advertisement