Anda di sini

Robert Lau akhiri tempoh perjawatan di MDLBS

Advertisement
 Lau (duduk, tengah) ketika merakam kenangan bersama kaunselor dan juga kakitangan MDLBS semalam.
HARI TERAKHIR: Lau (duduk, tengah) ketika merakam kenangan bersama kaunselor dan juga kakitangan MDLBS semalam.

SIBU: Semalam adalah hari terakhir Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau berkhidmat sebagai timbalan pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS).

Menurutnya, beliau sempat menghadiri Mesyuarat Bulanan MDLBS sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan kaunselor setelah berpeluang empat tahun berkhidmat dengannya di MDLBS.

“Peranan saya sebagai timbalan pengerusi MDLBS adalah berbeza berbanding dengan tugas saya sebagai Ahli Majlis selama 10 tahun di Majlis Perbandaran Sibu di mana peranan ini memberi ruang yang lebih besar bagi saya untuk menentukan hala tuju dan polisi bagi MDLBS.

“Tambahan pula, rangka kerja dan pengurusan agak berbeza dengan Majlis Perbandaran Sibu.

“Justeru, cara untuk menangani isu dan penduduk adalah berbeza,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kata Lau, salah satu perbezaan yang ketara ialah penduduk di kawasan itu lebih lurus dan hormat kepada pihak berkuasa walaupun mereka kurang arif tentang peraturan dan undang-undang.  

“Saya mendapati cara untuk menangani isu dan penduduk adalah turun padang dan melihat perkara daripada perspektif mereka.

“Selepas itu, saya akan membentang peraturan dengan cara yang memudahkan pemahaman dan penerimaan mereka.  

“Apa yang penting bagi penduduk ialah ia harus mudah dan adil.

“Mereka sudi menerima pandangan pihak berkuasa sekiranya kita ikhlas membantu mereka,” tegasnya.

Beliau berkata, elakkan penggunaan kekerasan pada permulaan melainkan kaedah pujukan tidak berkesan.

Selain bertanggungjawab menjaga kawasan petempatan Cina di Tebing Barat (kawasan Sungai Bidut), beliau memberitahu juga meluangkan banyak masa di MDLBS di Bandar Satelit Sibu Jaya.

“Dengan kata lain, saya merupakan ‘Datuk Bandar’ bagi bandar satelit ini.

“Saya mengenali kebanyakan peniaga di pasar basah, Pasar Ria, Pasar Tamu dan Pasar Malam/Pasar Harian di Sibujaya.

“Saya berasa gembira melihat perkembangan pasar-pasar ini yang menjadi asas kepada kehidupan harian penduduk Sibu Jaya,” jelasnya.

Sementara itu Lau berpendapat, kawasan pentadbiran MDLBS sangat luas di bawah perkhidmatan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berlainan.  

“Kami mendapat sokongan yang baik daripada sebilangan ADUN, antaranya ADUN Tamin Christopher Gira Sambang, seorang yang amat proaktif.

“Projek jutaan ringgit Waterfront merupakan projek yang terkini di Selangau.

“Saya berpandangan optimis terhadap perkembangan Selangau yang akan menjadi sebuah bandar seperti Sibu Jaya,” katanya.

Beliau berkata, banyak kawasan pedalaman masih memerlukan banyak pembangunan prasarana.

Kawasan seperti Tebing Barat Sibu, ujarnya, yang hanya kurang daripada setengah jam memandu dari bandar Sibu masih memerlukan banyak lampu jalan dan perparitan yang baik.

“Majlis Perbandaran Sibu mempunyai dana pembangunan yang amat terhad memandangkan tugas utama ialah menyediakan perkhidmatan seperti membaiki jalan raya, kutipan sampah-sarap memotong rumput, membersihkan longkang/parit, menangkap anjing liar, mengurus pasar dan tamu, serta mengawal tempat makan dan menguatkuasakan amalan kebersihan,” katanya.

Lau memberitahu, terdapat banyak rumah panjang dalam kawasan pentadbiran MDLBS.

Banyak kerja pembangunan infrastruktur telah dijalankan beberapa tahun yang lepas melalui sumbangan dana di bawah Projek Transfomasi Luar Bandar oleh Kerajaan Negeri Sarawak, ujarnya.

“Saya meninggalkan MDLBS bukan disebabkan penamatan tempoh berkhidmat tetapi disebabkan tawaran jawatan lain.  

“Kenangan manis saya peroleh dalam tempoh hampir empat tahun ini.

“Saya tulus menghargai perjumpaan saya dengan penduduk semasa di Sibu Jaya, Selangau, Stapang, rumah panjang, kampung, rumah kebun Foochow dan sekolah Cina di tebing barat.

“Ia merupakan pengalaman yang amat bermakna bagi saya.

“Saya amat terhutang budi kepada orang ramai dan semua kakitangan MDLBS.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kerana memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada anda semua.  Selamat tinggal!” katanya mengakhiri bicara.

Advertisement