Anda di sini

Tawar pakej citarasa tempatan

Advertisement
 Octavius (tengah) berbincang bersama staf mengenai perancangan dan strategi baharu.
BINCANG: Octavius (tengah) berbincang bersama staf mengenai perancangan dan strategi baharu.

 

Pengusaha atur strategi pulihkan industri pelancongan

BERBEZA dari tiga bulan yang lepas, suasana pantai dan kawasan sekitar pusat pelancongan di pulau itu tidak lagi meriah dengan kunjungan ribuan pelancong setiap hari.

Jeti dan bot yang dahulunya kerap menyambut kedatangan tetamu kini sunyi sepi yang hanya kedengaran bunyi desiran ombak.

"Beginilah keadaan kami sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas. Tiada lagi kunjungan pelancong dan juga aktiviti pelancongan.

"Rutin harian staf di sini yang dahulunya sibuk dengan aktiviti bersama pelancong, kini lebih banyak menghabiskan masa dengan tugasan baharu.

"Pendek cerita, kami sekarang lebih kepada pengendalian pelbagai tugas berbanding sebelum ini," begitulah perkongsian salah seorang pengusaha pusat pelancongan di Pulau Sepanggar Kota Kinabalu ketika ditemui Utusan Borneo baru-baru ini.

Pengarah Urusan Traverse Tours Sdn Bhd Octavius @ Dares Salam Asaad turut mengendalikan beberapa pusat pelancongan termasuk Mari Mari Sepanggar Island Lodge, Mari Mari Cultural Village, Riverbug Kiulu, dan Riverbug Padas.


CITARASA TEMPATAN

Octavius berkata, berikutan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, industri pelancongan negara khususnya di Sabah amat terjejas terutama apabila sempadan negara mula ditutup dari kemasukan pelancong.

Sehubungan itu katanya, para pemain industri tidak mempunyai pilihan melainkan patuh kepada arahan yang dikeluarkan kerajaan bagi membendung wabak terbabit dari merebak secara berleluasa.

 Staf Mari Mari Sepanggar Island Lodge kini bersedia menerima kunjungan pelancong.
MULA OPERASI: Staf Mari Mari Sepanggar Island Lodge kini bersedia menerima kunjungan pelancong.

"Sememangnya dalam tempoh tiga bulan ini sejak arahan PKP dikeluarkan, bisnes terjejas teruk dan semua operasi pusat pelancongan dikehendaki tutup.

"Namun, ini bukanlah masanya untuk kita tidak melakukan sebarang tindakan. Malah, bagi saya inilah masanya untuk kita mengatur semula strategi dari segi pakej yang dipromosikan dan juga kaedah pengurusan yang lebih efektif.

"Keadaan yang menimpa negara ini perlu dilihat dari sudut positif kerana lambat laun, saya yakin industri pelancongan akan pulih dan kembali normal seperti keadaan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, antara langkah yang diambil pihaknya adalah dengan memperkenalkan pakej-pakej yang bersesuaian dengan citarasa pengunjung tempatan.

Selain dapat memperbaharui dengan sedikit kelainan dalam pakej yang ditawarkan, pengunjung juga berpeluang menikmati promosi harga yang jauh lebih murah dan berbaloi.

 Keadaan pusat pelancongan yang sentiasa bersih dan terjaga.
TERJAGA: Keadaan pusat pelancongan yang sentiasa bersih dan terjaga.

Menurutnya, pakej seperti memancing dan candat sotong antara aktiviti yang bakal dimasukkan dalam pakej sedia ada di Mari Mari Sepanggar Island Lodge.

"Aktiviti ini bukan sahaja sesuai dengan citarasa pengunjung tempatan malah, kadar harga yang ditawarkan juga berpatutan.

"Kita juga akan menyusun program yang lebih bersifat kekeluargaan seperti perkhemahan unggun api, barbeku, mengunjungi kawasan kebun sayur dan juga dusun buah-buahan.

"Kalau sebelum ini, pengunjung di pulau banyak tertumpu dengan aktiviti menyelam atau berakit di Kiulu, namun kali ini, kami menambah nilai pakej sedia ada dengan beberapa aktiviti menarik," jelasnya.

Beliau berkata, selepas berakit, para pengunjung boleh singgah ke kebun untuk memetik sayur kemudian mengambil buah di dusun buah-buahan.

Para pengunjung juga katanya, berpeluang menuai madu kelulut dan berkhemah di tepi sungai seterusnya mereka juga boleh memasak sendiri makanan hasil dari kebun.

 
 

Pihaknya mahu para pengunjung merasai suasana yang jauh berbeza yang lebih tenang seperti kehidupan masyarakat kampung jauh dari kesibukan bandar apabila mengambil pakej yang disediakan.

Katanya, buat masa ini pengunjung berpeluang menikmati promosi menarik dengan tawaran harga serendah RM60 seorang untuk trip harian dan RM88 seorang bagi pakej bermalam di chalet.


STRATEGI

Diakui, untuk terus kekal bertahan dalam industri ini walaupun dalam keadaan bisnes yang terjejas, pihaknya perlu mengatur strategi terbaik terutama untuk meneruskan operasi pada peringkat awal ini.

"Buat masa ini, kami sudah memulakan operasi sejak 10 Jun lepas di Mari Mari Sepanggar Island Lodge.

"Walaupun masih kurang sambutan, situasi ini perlu kami terima tanpa perlu merungut kerana semua orang turut sama terjejas.

"Justeru, antara strategi awal yag perlu dibuat adalah mengawal kos operasi dengan sebaiknya," katanya.

Beliau berkata, sekarang juga masa terbaik untuk menjalankan kerja-kerja pemuliharaan dan memperbaiki sistem penyelenggaraaan agar operasi terus bertahan dan berjalan lancar.

Menurutnya, sistem baharu juga perlu diterapkan terutama membabitkan pengurusan bagi memaksimumkan produktiviti.

"Sebelum ini, setiap staf ada tugasan masing-masing tetapi sekarang jumlah staf terpaksa dikurangkan dan staf yang ada perlu menambah kemahiran  diri untuk menjalankan tugasan yang lain.

"Ini juga norma baharu bagi kami semua memandangkan perlu penjimatan kos dalam operasi.

"Kebanyakan staf juga faham dengan situasi yang dialami syarikat dan ada yang sukarela untuk terus bekerja walaupun jumlah tugasan semakin bertambah," katanya.

Octavius berkata, pihaknya perlu bijak mengambil inisiatif untuk meneruskan operasi dan ia sekaligus dapat membantu meningkatkan kemahiran pengurusan.


SOP

Antara perkara yang perlu diutamakan selepas pembukaan semula operasi adalah menerapkan norma baharu dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berwajib yang lain.

 Pemandangan matahari terbenam yang cantik antara tarikan utama di pusat pelancongan berkenaan.
INDAH: Pemandangan matahari terbenam yang cantik antara tarikan utama di pusat pelancongan berkenaan.

"Apa yang kami laksanakan mengikut SOP KKM untuk keselamatan pelancong dan juga staf.

"SOP wajib yang perlu dipatuhi antaranya, penjarakan sosial, menyediakan cecair pembersih tangan dan mengambil suhu badan serta maklumat peribadi pengunjung.

"Walaupun semakin banyak kelonggaran dibenarkan, masih ramai dalam kalangan rakyat tidak berani untuk mengunjungi pusat-pusat pelancongan.

"Bukan sahaja melancong, malah untuk menjalani rutin harian pun masih ramai yang berjaga-jaga," katanya.


STAF

Selama tiga bulan tidah beroperasi, ada beberapa kakitangan yang sukarela tinggal di pulau berkenaan untuk menjaga kawasan pusat pelancongan itu.

Salah seorang pekerja di Mari Mari Sepanggar Island Lodge Albassir Hassan, 26, berada di kawasan pulau selama tiga bulan tanpa keluar memberi banyak pengalaman baharu.

Selain itu beliau juga berpeluang mempelajari ilmu baharu dalam meningkatkan kemahiran kerja di samping bersedia dengan apa juga cabaran yang bakal berlaku.

 Pakej aktiviti berakit kini ditambah nilai dengan aktiviti menarik yang lain.
MENARIK: Pakej aktiviti berakit kini ditambah nilai dengan aktiviti menarik yang lain.

"Ramai staf tiada dan saya bersama rakan lain yang tinggal perlu lebih kreatif dan kuat semangat memandangkan kami terpaksa membuat kerja tambahan yang sebelum ini dibuat oleh rakan sekerja yang lain.

"Sebelum ini saya bertugas menyambut kedatangan pengunjung untuk trip harian dan tugasan lain memantau kebersihan pantai.

"Minggu pertama PKP saya seperti kejutan budaya kerana tiada apa-apa yang boleh dibuat. Justeru, kami mula merancang apa kerja utama yang lebih penting untuk dilakukan," jelasnya yang berasal dari daerah Semporna ini.

Beliau berkata, antara cabaran besar sepanjang PKP apabila terpaksa mencari inisiatif sendiri dengan mencari punca mata air untuk menyimpan bekalan air.

Dari situ juga beliau dapat mengenal pasti beberapa kemahiran yang mampu beliau lakukan selain daripada tugasan asal di pusat pelancongan itu.

Bagi Wesley Yongoi, 36, yang bertugas sebagai pengurus lodge, walaupun tiada pengunjung, kerja penyelenggaraan perlu diteruskan bagi memastikan keadaan di pusat berkenaan sentiasa terjaga.

"Inilah antara cabaran yang kami perlu hadapi dengan norma baharu dalam bekerja, semua ini kami perlu adaptasi secara perlahan-lahan.

"Kami bersama-sama perlu merancang dan mengatur strategi baharu terutama dari segi pembangunan aktiviti dan promosi akan datang," katanya yang sudah bertugas di Mari Mari Sepanggar Island Lodge kira-kira dua tahun lepas.

Beliau berkata, mentaliti masyarakat selain faktor ekonomi dan sosial juga antara cabaran besar sekarang kerana masih ada yang bimbang dan belum bersedia untuk melancong.

Sehubungan itu, pihaknya berharap setiap rancangan dan strategi yang diatur akan berjalan lancar dalam tempoh menunggu keadaan pulih seperti biasa.

 Ruang tidur dengan pemandangan pantai di salah satu bilik tetamu.
SELESA: Ruang tidur dengan pemandangan pantai di salah satu bilik tetamu.

 

 

  • oleh
  • Advertisement