Anda di sini

Banjir melanda beberapa daerah di Sabah

Advertisement
 Pemandangan dari ruang udara banjir yang melanda kawasan Kota Belud. - Gambar Facebook Sharwin Iskandar
BANJIR: Pemandangan dari ruang udara banjir yang melanda kawasan Kota Belud. - Gambar Facebook Sharwin Iskandar

KOTA KINABALU: Beberapa daerah di negeri ini terjejas akibat banjir berikutan hujan yang berlarutan sejak malam Sabtu.

Daerah Kota Belud dan Penampang antara kawasan yang terjejas teruk selepas paras air naik mendadak mengakibatkan beberapa laluan jalan tidak dapat digunakan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah Kolonel Kamal Mokhtar berkata, hujan lebat yang berterusan menyebabkan paras air di tiga sungai utama di Kota Belud naik mendadak.

Katanya, faktor mendapan pasir batu dan kelodak dari Hulu Kadamaian hingga muara Sungai Abai turut menjejaskan beberapa kawasan kampung di daerah itu.

Menurutnya, sehingga jam 8 pagi Ahad, dua pusat pemindahan sementara dibuka iaitu Dewan Masyarakat Tun Said dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi II.

"Sebanyak 16 keluarga membabitkan 31 mangsa ditempatkan di Dewan Masyarakat Tun Said manakala di SMK Taun Gusi masih belum ada penempatan mangsa banjir.

"Bagi daerah Penampang, seramai 18 mangsa banjir daripada lima keluarga termasuk seorang bayi perempuan ditempatkan di Pusat Kebudayaan Penampang sekitar jam 1.35 pagi tadi.

"Antara laluan yang dinaiki air di Penampang termasuklah Jalan Kiranau Inobong, Jalan Kolopis, Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Kibabaig, dan Jalan Kivatu-Kasigui," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, keadaan banjir di kawasan Tuaran dan Pitas masih terkawal bagaimanapun terdapat jalan yang tidak boleh dilalui di Tuaran.

Katanya, kawasan jalan yang terjejas banjir termasuk kawasan jambatan lama Tamparuli yang tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan manakala Jalan Kampung Bawang dan Kampung Sungai Damit hanya boleh dilalui oleh kenderaan jenis pacuan empat roda (4x4).

Selain itu katanya, arus deras di tiga kawasan sungai di Keningau turut mengakibatkan laluan di kawasan berkenaan tidak boleh dilalui kenderaan.

"Keadaan di Sungai Liawan di Kampung Keningau dan Dangulad serta Sungai Bayayo di Kampung Tangkungon perlu dipantau.

"Setakat ini belum ada laporan rumah dinaiki air di Keningau dan persediaan turut dibuat untuk membantu memindahkan mangsa sekiranya berlaku banjir," jelasnya.


 

  • oleh
  • Advertisement