Anda di sini

Azizah ingatkan pelajar supaya terus bersungguh-sungguh

Advertisement
 Azizah menyampaikan ucapan ringkas dalam majlis itu.
AMANAT: Azizah menyampaikan ucapan ringkas dalam majlis itu.

BEAUFORT : 'Bersusah-sudah dahulu, bersenang-senang kemudian', itulah peringatan yang dikongsi Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Dun kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang menerima anugerah kecemerlangan yang diadakan di perkarangan pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen (PKRP) Beaufort, kelmarin.

Berbeza dengan sebelum ini, yang mana majlis seumpama ini diadakan di dewan atau tempat tertutup, kali ini ia dibuat di perkarangan pejabat PKRP Beaufort dengan mengamalkan penjarakan sosial mengikut Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Peringatan yang dikongsi Azizah dalam ucapannya pada majlis itu bertujuan memberi peringatan kepada para pelajar agar terus bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu kerana beliau percaya, setiap pengorbanan yang dilakukan hari ini akan membuahkan hasil yang lebih baik suatu hari nanti.

Beliau mengakui, bukan semua pelajar adalah daripada keluarga yang berkemampuan, justeru kesukaran yang dilalui sehingga ke tahap persekolahan ini harus dijadikan sebagai pembakar semangat untuk merubah kehidupan ke arah yang lebih baik.

"Saya percaya, kejayaan adik-adik yang kita dapat saksikan hari ini akan berterusan sehingga ke menara gading nanti kerana saya yakin, adik-adik ingin mencapai cita-cita masing-masing, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pelajar SPM & STPM 2019 yang diadakan di perkarangan pejabat PKRP Beaufort, kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Azizah yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut mengingatkan ibubapa supaya terus memberikan galakan serta sokongan kepada anak-anak masing-masing.

Beliau percaya sokongan moral daripada ibubapa dapat menaikkan lagi semangat anak-anak untuk menuntut ilmu di peringkat lebih tinggi.

"Saya harap ibubapa terus memberikan sokongan serta bimbingan kepada anak-anak kerana saya yakin usaha tersebut dapat memberikan motivasi kepada mereka untuk meneruskan kejayaan di peringkat yang lebih jauh, " jelas Azizah.

  • oleh
  • Advertisement