Anda di sini

‘Unhinged’ lakonan Russell Crowe buat percaturan besar

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 24 Jun 2019 ini menunjukkan pelakon New Zealand Russell Crowe menghadiri tayangan perdana siri terhad  Showtime, ‘The Loudest Voice’ di pawagam Paris di New York. Selepas dalam keadaan awang-awangan selama lebih tiga bulan disebabkan oleh koronavirus, Hollywood akan kembali semula ke skrin besar – dan berharap filem keganasan jalan raya lakonan Russell Crowe ‘Unhinged’ dapat melonjakkan pemulihan. Filem aksi itu, yang dijadual keluar pada 10 Julai, bakal menjadi keluaran
AMBIL RISIKO: Gambar fail bertarikh 24 Jun 2019 ini menunjukkan pelakon New Zealand Russell Crowe menghadiri tayangan perdana siri terhad Showtime, ‘The Loudest Voice’ di pawagam Paris di New York. Selepas dalam keadaan awang-awangan selama lebih tiga bulan disebabkan oleh koronavirus, Hollywood akan kembali semula ke skrin besar – dan berharap filem keganasan jalan raya lakonan Russell Crowe ‘Unhinged’ dapat melonjakkan pemulihan. Filem aksi itu, yang dijadual keluar pada 10 Julai, bakal menjadi keluaran

SELEPAS dalam keadaan awang-awangan selama lebih tiga bulan disebabkan oleh koronavirus, Hollywood akan kembali semula ke skrin besar – dan berharap filem keganasan jalan raya lakonan Russell Crowe ‘Unhinged’ dapat melonjakkan pemulihan.

Filem aksi itu, yang dijadual keluar pada 10 Julai, bakal menjadi keluaran meluas yang pertama sejak pawagam di Amerika Syarikat (AS) menutup pintu pada pertengahan Mac lalu.

‘Tenet’ arahan Christopher Nolan yang begitu diuar-uarkan akan menyusulinya tidak lama kemudian.

Tetapi adakah percaturan itu akan membuahkan hasil bagi studio yang bergerak dengan cepat?

Sementara rangkaian pawagam terkemuka di seluruh negara merancang untuk menghidupkan semula projektor mereka dalam separuh pertama bulan Julai, skrin di Los Angeles dan New York yang teruk dilanda pandemik koronavirus belum lagi diberikan kebenaran untuk dibuka semula.

Walaupun dengan penjarakan sosial dan langkah sanitasi yang dipertingkatkan, keghairahan penonton filem untuk memenuhi auditorium yang gelap dan tertutup di tengah-tengah kemungkinan berlakunya “gelombang kedua” kes virus mungkin akan turun naik.

AMC, rangkaian pawagam terbesar di dunia, menimbulkan keributan apabila mereka pada mulanya enggan menuntut penggunaan penutup hidung dan mulut, dengan alasan bahawa ia tidak mahu “diheret ke dalam kontroversi politik”.

Ia mengubah fikiran mengenai dasar itu pada Jumaat lepas setelah ia mencetuskan kemarahan.

Semua pihak daripada pengedar bebas hingga kepada studio ‘blockbuster’ akan memantau dengan teliti untuk melihat bagaimana eksperimen dengan keluaran baharu di pawagam akan berkembang.

“Hollywood bukan tempat di mana pesaing diketahui sering mendoakan kejayaan satu sama lain,” kata penerbit ‘Unhinged’ Mark Gill.

“Namun dalam keadaan yang khusus ini, semua orang berharap kita berjaya.”

Filemnya menentang trend industri, dengan menukar tarikh keluarannya daripada September, sementara studio lebih besar mengisi semua slot pembukaan perdana pada hujung 2020.

Solstice Studios memutuskan ketiadaan filem baharu yang bersaing, dan kekurangan tarikan lain seperti acara sukan yang besar, adalah lebih penting daripada bahaya kegagalan awal – yang walau bagaimanapun telah dikurangkan bagi sebuah filem berbajet AS$33 juta yang sederhana.

“Semakin kita melihatnya, ia sudah tentulah berisiko, tetapi ia masih kelihatan seperti berbaloi untuk dilakukan,” kata Gill kepada AFP.

- ‘RISIKO YANG BERBALOI’ -

“Seseorang perlu pergi terlebih dahulu – ia ternyata risiko yang berbaloi,” kata Jeff Bock, seorang penganalisis kanan bagi pemantau industri Exhibitor Relations. “Tetapi saya berpendapat percaturan tidak memihak kepada mereka.”

Sementara keputusan untuk membuka ‘Unhinged’ awal telah menjana minat yang tinggi – trelernya menarik 210 juta tontonan dalam masa seminggu – saku studionya tidak begitu dalam berbanding saku pesaing dari segi pemasaran, katanya.

Namun ‘Unhinged’ sebenarnya adalah satu “persiapan bagi studio lain”, tambahnya, dan menyatakan ujian utama yang sebenar adalah filem studio besar yang pertama, termasuk filem berbajet lebih AS$200 juta terbitan Warner Bros berjudul ‘Tenet’ yang akan dikeluarkan pada 31 Julai.

Nolan – pengarahnya yang berpengaruh dan paling dikenali kerana ‘Inception’, ‘Dunkirk’ dan trilogi Batman ‘Dark Knight’ – telah menuntut agar filem aksi sains fiksyennya yang bercita-cita tinggi dan penuh rahsia itu berdiri teguh dengan keluaran awalnya di pawagam.

Walaupun demikian, ia baru-baru ini ditunda selama dua minggu, untuk memberi ruang bernafas kepada skrin di New York dan Los Angeles dibuka semula.

Filem terbitan Disney ‘Mulan’ juga dijadual keluar pada Julai – sejurus selepas pembukaan semula Disney World dan Disneyland – tetapi segelintir penganalisis meramalkan ia mungkin akan ditunda ke slot yang lebih lewat jika keluarga dilihat sebagai masih takut untuk pergi ke pawagam.

“Publisiti lisan kini akan berdasarkan bukan kepada filem khusus yang benar-benar bagus, tetapi pawagam manakah yang mengikuti semua garis panduan,” kata Brock.

Bahaya keluar terlalu awal telah diketengahkan di China, di mana pawagam di beberapa buah wilayah dibuka semula dengan optimis pada hujung Mac lalu, sebelum ia ditutup semula beberapa hari kemudian.

Ibu negara Beijing kini sedang mengalami wabak COVID-19 baharu, yang mendorong pihak berkuasa untuk menutup beberapa bahagian di bandar raya tersebut.

Jika wabak baharu dijejaki balik kepada skrin di AS, “pawagam akan ditutup dengan sangat cepat, dan bagi tempoh yang sangat lama selepas itu,” ramal Bock.

Kebimbangan itu terbukti di Los Angeles pada Jumaat lepas, apabila bar dan pusat tatu diberikan kebenaran untuk dibuka semula – tetapi pawagam ketara tidak.

Walau bagaimanapun Gill memberi tumpuan kepada puluhan ribu pawagam kosong yang ingin sekali buka semula di seluruh negara, tetapi tanpa apa-apa yang baharu untuk ditayangkan – dan tiada kepastian mengenai sama ada audiens sanggup untuk kembali ataupun tidak.

“Anda boleh melihat pawagam dibuka dengan filem yang bagus dan menontonnya bersendirian dan melakukan segalanya dengan betul,” katanya. “Tetapi jika tidak ada orang yang datang, anda akan mati.” — AFP

Advertisement