Anda di sini

MKN hantar pulang 134 PTI Indonesia ke negara asal

Advertisement
 Ketua Perwakilan KRI Tawau Sulistidjo Djati Ismojo turut berada di TFT melihat warganya dihantar pulang
KONSUL : Ketua Perwakilan KRI Tawau Sulistidjo Djati Ismojo turut berada di TFT melihat warganya dihantar pulang

TAWAU : Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah menghantar pulang 134 pendatang tanpa izin (PTI) dari Tawau ke negara asal mereka di Indonesia melalui perjalanan laut.

Kesemua PTI terbabit dihantar pulang menerusi feri dari Terminal Feri Penumpang (TFP) Tawau ke Pelabuhan Tunon Taka, Nunukan, Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata, penghantaran pulang ini merupakan program khas yang dilaksanakan oleh MKN Sabah dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan agensi kerajaan yang lain.

"Kesemua mereka itu, sudah menjalani ujian saringan COVID-19 dan didapati negatif sebelum mendapat kelulusan untuk dihantar pulang," katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, penghantaran pulang itu merupakan siri ke-17 melalui jalan laut pada tahun 2020 melibatkan PTI warga Indonesia dan Filipina.

"Sepanjang tahun ini seramai 3,936 orang termasuk warganegara India, China, Pakistan dan Vietnam yang telah dihantar melalui udara yang dilakukan oleh JIM Sabah menjadikan jumlah keseluruhan penghantaran pulang sejak tahun 1990 seramai 595,193," katanya.

Beliau berkata, MKN Sabah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam memastikan kelancaran operasi penghantaran pulang PTI kali ini.

"Begitu juga, penghargaan kepada pihak Konsulat Republik Indonesia yang memberikan kerjasama dalam memastikan rakyat mereka dapat kembali ke negara asal.

"Tindakan mereka mencerminkan kebertanggungjawaban dan keprihatinan yang tinggi terhadap kebajikan warganegara mereka walaupun berstatus PTI," katanya.

Selain itu, Sitti Saleha menjelaskan kerajaan Filipina melalui kedutaannya di Kuala Lumpur juga sudah memberikan maklum balas yang positif dalam pengusiran tahanan PTI Filipina di PTS.

"Hasil kerjasama baik yang diberikan oleh pihak kerajaan Filipina, penghantaran tahanan PTI warganya juga akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya.

Sitti Saleha menjelaskan kerajaan Malaysia komited dalam memastikan semua tahanan dapat kembali ke negara asal untuk menikmati hak mereka menjalani kehidupan biasa di negara sendiri.

"Pihak MKN akan meneruskan tindakan penguatkuasaan selari dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan keberadaan PTI di negeri Sabah.

"Kerjasama semua pihak terutamanya majikan supaya tidak melindungi dan menggaji PTI bekerja demi keselamatan negara,"katanya.

  • oleh
  • Advertisement