Anda di sini

Kehadiran pelajar Kolej Tingkatan Enam Tawau memuaskan

Advertisement
 Kedudukan pelajar semasa dalam kelas ketika sesi pembelajaran.
NORMA BAHARU: Kedudukan pelajar semasa dalam kelas ketika sesi pembelajaran.

TAWAU: Seramai 412 orang pelajar Kolej Tingkatan Enam Tawau menghadiri sesi persekolahan yang bermula semalam selepas ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Mereka terdiri daripada pelajar Tingkatan Enam Atas yang akan mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun ini.

Kehadiran pelajar semalam sangat memuaskan dengan jumlah peratusan yang hadir sebanyak 95.15 peratus dan semua mereka diberikan taklimat sebelum memulakan sesi pembelajaran.

MOHD JUZAIDI
MOHD JUZAIDI

Sebanyak 60 kelas dibuka dengan kapasiti 16 hingga 20 orang pelajar mengikut keluasan kelas manakala meja disusun dengan jarak satu meter mengikut garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tinjauan wartawan mendapati pihak sekolah sudah bersedia menyambut kehadiran pelajar seawal jam 6 pagi dengan pelaksanaan dan persediaan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah disiapkan sebelum ini.

Norma baharu yang dipraktikkan selain penjarakan sosial, kerap mencuci tangan dan memakai cecair sanitasi, semua pelajar juga perlu membeli makanan terlebih dahulu sebelum masuk kelas untuk memulakan sesi pembelajaran.

Rata-rata guru dan pelajar yang ditemui bersemangat untuk memulakan semula sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan teruja untuk menghadiri hari pertama persekolahan selepas cuti selama 98 hari.

Presiden pelajar Mohd Juzaidi Kamaruddin,19, sangat teruja untuk hadir ke sekolah kerana sudah lama bercuti dan hanya belajar melalui alam maya dari rumah sahaja.

"Saya bersyukur kerana pihak kerajaan memberikan kelonggaran untuk kami menghadiri sesi pembelajaran di sekolah kerana pembelajaran secara alam maya menyukarkan kami memahami sesuatu pelajaran yang disampaikan.

"Pembukaan sekolah ini membakar semangat kami untuk terus belajar bersungguh-sungguh dan menempuhi peperiksaan semester kedua akan datang," katanya.

Beliau berkata, masuk ke sekolah dengan norma baharu memang suatu kelainan dan agak susah sedikit kerana mereka perlu sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga jarak.

"Mungkin diawal persekolahan ini kami menghadapi sedikit masalah untuk mengikuti norma baharu kerana belum menjadi kebiasaan sebelum ini. Namun, SOP ini lebih baik berbanding terpaksa belajar dari rumah.

"Dapat berjumpa rakan sekelas juga merupakan khabar gembira bagi kami yang sudah lama tidak dapat berjumpa dan belajar bersama-sama," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Nurul Dina Haziqah Dalni mempunyai perasaan bimbang pada mulanya kerana masih takut dengan penularan wabak COVID-19.

NURUL DINA
NURUL DINA

Beliau berkata, pada mulanya sangat bimbang dengan wabak dan terpaksa mengikuti semua SOP ditetapkan yang sudah pasti memberikan kegusaran serba sedikit untuk hadir ke sekolah.

"Namun, semua kebimbangan itu hilang selepas pihak KPM dan sekolah mengambil inisiatif yang baik dalam pematuhan semua garis panduan yang ditetapkan.

"Saya kini berasa selamat ketika berada di sekolah dan teruja untuk memulakan sesi pembelajaran bersemuka dengan guru seperti sebelum ini," katanya.

Menurutnya, sepanjang berada di rumah pihak kolej menyediakan jadual yang sangat ketat dimana semua pelajar perlu belajar secara alam maya selama empat jam dan dua mata pelajaran setiap hari.

Bagaimanapun, belajar dari rumah banyak rintangannya termasuklah gangguan internet dan suasana dalam rumah yang menyebabkan kadang-kadang tidak fokus.

Dia yang bercita-cita menjadi pegawai diplomat akan berusaha belajar bersungguh-sungguh sehingga mencapai target keputusan cemerlang dan mendapat anugerah dekan dalam peperiksaan.

"Semua halangan dan kepayahan dalam menuntut akan saya abaikan dan tempuhi demi mencapai cita-cita yang ingin dicapai suatu hari nanti," katanya.

  • oleh
  • Advertisement