Anda di sini

Dua PPS ditempatkan di sekolah, pantau pelajar patuhi SOP KPM

Advertisement
 Habibi menjalani pemeriksaan suhu iaitu salah satu SOP ditetapkan KPM kepada pelajar sebaik tiba di SMK Sanzac.
PERIKSA: Habibi menjalani pemeriksaan suhu iaitu salah satu SOP ditetapkan KPM kepada pelajar sebaik tiba di SMK Sanzac.

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu mengambil langkah proaktif mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pelajar dengan menempatkan dua Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di setiap sekolah di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tindakan berkenaan akan memberikan manfaat kepada 19 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di daerah ini.

“Kita menempatkan dua PPS termasuk pembantu selaras kebenaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran bagi Tingkatan Lima dan Enam yang bermula hari ini (semalam) disamping kerjasama berterusan pihak polis bersama masyarakat.

“PPS yang hadir di sekolah setiap hari akan berada pada waktu permulaan dan akhir persekolahan dengan berperanan memastikan pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KPM di setiap sekolah bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan pelajar serta kakitangan sekolah.

“Sepanjang pemantauan terbabit, kita juga akan menempatkan kereta peronda polis di luar sekolah bagi memastikan pelajar akan terus mematuhi peraturan semasa norma baharu ini selain mengelakkan daripada pelajar berkumpul dalam jumlah ramai selepas waktu persekolahan tamat,” katanya.

Habibi berkata, jika polis mendapati ada pelajar yang melanggar peraturan yang ditetapkan mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020, pihaknya akan memberikan amaran serta nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya dilaksanakan.

“Kita percaya amaran serta nasihat yang diberikan pihak polis kepada pelajar akan dipatuhi sepenuhnya selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke SMK Sanzac di sini sempena hari pertama persekolahan membabitkan 306 pelajar yang akan menghadapi peperiksaan besar tidak lama lagi.

Dalam lawatan itu, Habibi sempat memberikan nasihat kepada pelajar serta kakitangan di sekolah itu agar sentiasa mematuhi serta melaksanakan SOP norma baharu yang ditetapkan kini.

“Sebelum ini kita menghadapi masalah berkenaan masalah disiplin dan jenayah dalam kalangan pelajar bagaimanapun kini kita berhadapan dengan musuh yang tidak boleh dilihat iaitu penularan penyakit berjangkit COVID-19 yang belum ada penawarnya.

“Ubah budaya hidup kita dengan mematuhi SOP yang ditetapkan dan apa yang diutamakan di sini adalah keselamatan pelajar serta kakitangan sekolah itu sendiri,” katanya.

Tinjauan Utusan Borneo di sekitar SMK Sanzac itu mendapati pihak sekolah menyediakan kemudahan mengikut SOP ditetapkan termasuk pemeriksaan suhu di pintu pagar sekolah dan menyediakan bilik isolasi bagi pelajar yang menunjukkan suhu badan yang terlalu rendah serta terlalu tinggi.

Pelajar akan direhatkan kira-kira lima minit sebelum pemeriksaan suhu dilaksanakan semula dan jika didapati suhu sebelumnya kekal sama, pelajar akan dihantar pulang untuk tindakan selanjutnya.

Di beberapa kawasan sekolah juga disediakan tempat membasuh tangan bagi memastikan kebersihan pelajar sentiasa terjaga dan tanda untuk penjarakan serta laluan sehala dan pengasingan laluan turut dilekat di seluruh kawasan sekolah bagi memastikan pergerakan pelajar teratur setiap masa.

Meja pelajar turut disusun mengikut jarak ditetapkan bagi memastikan pelajar dapat melalui sesi pembelajaran serta persekolahan pada jarak sesuai dengan penetapan SOP KPM.

  • oleh
  • Advertisement