Anda di sini

80 peratus pelajar tingkatan 5 dan 6 mula sesi persekolahan

Advertisement
  Dr. Dalmansah (dua kiri) berkata sesuatu kepada para pelajar ketika membuat tinjauan ke kelas-kelas di SMK Elopura Bestari sambil diperhatikan oleh Kalsom (kiri).
PATUHI SOP: Dr. Dalmansah (dua kiri) berkata sesuatu kepada para pelajar ketika membuat tinjauan ke kelas-kelas di SMK Elopura Bestari sambil diperhatikan oleh Kalsom (kiri).

SANDAKAN: Lebih 80 peratus pelajar tingkatan lima dan enam dari 21 buah sekolah menengah di daerah Sandakan hadir bagi memulakan sesi persekolahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas lebih tiga bulan ditutup berikutan penularan wabak COVID-19.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan Dr. Dalmansah Tahil berpuas hati dengan tahap Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) pelajar yang dipatuhi pihak sekolah sepenuhnya.

Beliau mengingatkan pelajar dan guru-guru sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan selain memantau pergerakan pelajar mereka semasa datang dan dalam kawasan sekolah serta selepas sesi pembelajaran.

“Langkah sedemikian bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para pelajar serta guru sentiasa terjaga sekaligus memastikan proses pembelajaran dapat berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan SOP di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura Bestari.

Dr. Dalmansah diiringi Pengetua SMK Elopura Bestari Hajah Kalsom Abdul Aziz serta pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah membuat tinjauan pematuhan SOP yang dijalankan pihak sekolah berkenaan sempena pembukaan melibatkan pelajar-pelajar tingkatan 5 dan 6.

Beliau berkata jika dilihat di sekolah ini saja pun kehadiran pelajar tingkatan 5 dan 6 sebanyak 96 peratus.

Dr. Dalmansah berkata, keseluruhan 21 buah sekolah menengah di daerah Sandakan dijangkakan melebihi 80 peratus kehadiran bagi tingkatan 5 dan 6 yang memulakan sesi persekolahan dalam tempoh PKPP semalam.

"Lebih 20,000 pelajar tingkatan 5 dan 6 yang terdapat di daerah ini, tetapi jumlah sebenar pelajar yang hadir hari ini (semalam), kita belum terima laporan lengkap dari pihak pemantau sekolah.

"Rata-rata yang hadir sesi pembukaan persekolahan ini adalah pelajar tingkatan 5 dan 6 yang tinggal di asrama. Ada juga pelajar yang bukan tinggal di asrama telah hadir ke sekolah,” katanya.

Dr. Dalmansah berkata, seramai 17 orang pelajar yang tidak hadir di sekolah ini berkemungkinan ibu bapa mereka masih belum ada keyakinan untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

Mengenai pelajar tingkatan 1 hingga 4, beliau menyarankan pada setiap sekolah agar mencetak dan mengedarkan bahan pembelajaran kepada para pelajar berkenaan yang tidak dapat mengikuti sesi pembelajaran jarak jauh (dalam talian) khususnya mereka yang tinggal di kawasan tidak mendapat capaian internet.

Beliau menjelaskan usaha ini bagi memastikan pelajar berkenaan tidak ketinggalan dalam pembelajaran mereka.

Tinjauan di SMK Elopura Bestari, mendapati para pelajarnya mematuhi garis panduan SOP yang ditetapkan selari dengan amalan norma baharu.

Pelajar dilihat menggunakan pelitup muka, menjalani pemeriksaan suhu badan selain mengamalkan penjarakan sosial sebelum masuk ke sekolah dan dalam kelas.

Kemudahan paip air dan sabun untuk pelajar mencuci tangan sebelum masuk ke kelas juga disediakan pihak sekolah selain pensanitasi tangan dan botol semburan air untuk berwuduk.

Sekolah berkenaan turut mengatur susunan meja mengikut jarak satu meter dimana antara 15 hingga 20 pelajar ditempatkan di dalam setiap kelas sesuai dengan keluasan kelas masing-masing.

Sementara itu, Kalsom memberitahu bagi memastikan penjarakan sosial antara pelajar terjaga pihaknya hanya menempatkan 17 hingga 20 orang pelajar dalam satu kelas iaitu mengikut keluasan sesebuah kelas.

“Sekiranya pelajar dalam kelas itu melebih 20 orang, pihak sekolah akan pecahkan pelajar kepada dua kelas dimana kelas kedua itu akan diajar oleh guru tingkatan 4 bagi mata pelajaran yang sama,” katanya.

Kalsom berkata, SMK Elopura Bestari juga menempatkan Sekolah Seni Malaysia Sabah dengan dua buah kelas yang mengikuti pendidikan perdana pada sebelah pagi dan pembelajaran seni pada sebelah petang dimana mereka juga kini ditempatkan dalam kelas yang lebih luas bagi penjarakan satu meter dalam kelas.

  • oleh
  • Advertisement