Anda di sini

236 sekolah menengah di Sabah mula sesi persekolahan

Advertisement
 Mistirine (tengah) menunjukkan ukuran jarak yang perlu dipatuhi untuk kedudukan pelajar di dalam kelas.
JARAK: Mistirine (tengah) menunjukkan ukuran jarak yang perlu dipatuhi untuk kedudukan pelajar di dalam kelas.

KOTA KINABALU: Sebanyak 236 sekolah menengah di negeri ini memulakan sesi persekolahan bagi kelas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Dr. Mistirine Radin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 221 adalah sekolah kerajaan dan 15 sekolah swasta.

Katanya, seramai 45,065 pelajar terlibat dengan pembukaan semula sesi persekolahan di Sabah termasuk 43,770 pelajar sekolah kerajaan dan 1,295 pelajar sekolah swasta.

Selain itu jelasnya, jumlah guru yang terlibat adalah seramai 16,703 guru sekolah kerajaan dan 464 guru sekolah swasta.

Menurutnya, walaupun sekolah rendah belum dibuka namun guru-guru bagi sekolah kerajaan diarahkan berada di sekolah bermula 24 Jun 2020.

"Jumlah guru sekolah rendah kerajaan adalah seramai 26,429 dan jumlah keseluruhan guru yang berada di sekolah pada 24 Jun adalah seramai 43,132 orang.

"Semua guru diwajibkan hadir bertugas walaupun sekolah rendah belum dibenarkan untuk dibuka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat tinjauan sesi pembukaan semula persekolahan di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu di sini semalam.

Mistirine berkata, jumlah keseluruhan murid sekolah rendah di Sabah adalah seramai 317,955, manakala sekolah menengah seramai 200,785 dan jumlah murid sekolah swasta seramai 35,773 orang.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menyediakan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah sebagai panduan utama persediaan bagi semua sekolah di Malaysia.

Pihaknya turut melaksanakan penataran bagi 15 sekolah swasta pada 16 Jun lepas.

  • oleh
  • Advertisement