Anda di sini

Institusi Raja: Harapan dan lambang perpaduan

Advertisement
 S.A. Vigneswaran melancarkan buku ‘Prevailing Democracy in Malaysian Parliament’ pada Majlis Tamat Tempoh Yang Dipertua Dewan Negara di Bangunan Parlimen. — Gambar Bernama
SIMBOLIK: S.A. Vigneswaran melancarkan buku ‘Prevailing Democracy in Malaysian Parliament’ pada Majlis Tamat Tempoh Yang Dipertua Dewan Negara di Bangunan Parlimen. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Institusi Raja di negara ini adalah harapan dan lambang perpaduan kerana ia bukan dipilih secara politik dan terkecuali daripada sebarang anasir politik, kata Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S A Vigneswaran.

Beliau berkata inilah antara sebab yang membolehkan Institusi Diraja berpotensi memainkan peranan tanpa mengenakan syarat berbanding parti politik yang setiap keputusannya, terikat dengan sentimen dan pertimbangan kepartian.

Dalam sistem Raja Berperlembagaan, institusi Raja di negara ini masih ada peranan dalam beberapa urusan atau pentadbiran negara seperti dimaktubkan Perlembagaan, katanya.

“Apabila krisis politik timbul di akhir bulan Februari 2020, kami telah menyaksikan peranan penting yang dimainkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Ia telah menunjukkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja ialah tiang seri yang amat mustahak di negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis tamat tempoh Yang Dipertua Dewan Negara di Parlimen di sini semalam.

Vigneswaran yang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pada 26 April 2016 menamatkan khidmatnya semalam.

“Dalam banyak perkara penting, kuasa Raja-Raja Melayu sangat jelas diperlukan bagi menjamin kestabilan politik dan masa depan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.

Menyentuh mengenai reformasi Dewan Negara, beliau percaya agenda reformasi Dewan Negara dapat menjadikan institusi itu mencapai potensi dan diberi kuasa melakukan apa yang dimaksudkan untuk dilakukan.

Beliau berkata Parlimen telah melakar sejarah dengan tertubuhnya Kaukus Dewan Negara iaitu pengesyoran untuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

“Saya percaya inisiatif-inisiatif di bawah agenda reformasi Parlimen dapat diterjemahkan ke arah meningkatkan reputasi Parlimen sebagai institusi yang mempertahankan kepentingan rakyat dan menjunjung nilai-nilai demokrasi,” katanya.

Dalam pada itu Vigneswaran turut melancarkan buku mewah, Prevailing Democracy in Malaysian Parliament, mengenai perjalanan hidupnya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, pada majlis itu. — Bernama

Advertisement