Anda di sini

PKS Sabah kerjasama dengan DPUDSM Malaysia perkenal produk tempatan ke pasaran antarabangsa

Advertisement
 Foo (tengah), Fitri (dua kanan) dan Tan (dua kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan selepas mesyuarat berkenaan.
KENANGAN: Foo (tengah), Fitri (dua kanan) dan Tan (dua kiri) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan selepas mesyuarat berkenaan.

KOTA KINABALU: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sabah akan mengadakan kerjasama dengan Dewan Pembangunan Usahawan Damai Setia Muafakat (DPUDSM) Malaysia bagi memperkenalkan produk tempatan negeri ini ke peringkat antarabangsa.

Presiden PKS Sabah Foo Ngee Kee berkata, kerjasama diantara dua pihak itu juga untuk menerokai peluang-peluang dalam memasarkan produk tempatan Sabah di peringkat antarabangsa menggunakan platform GD Pavilion (GD).

"GD adalah platform secara atas talian yang diwujudkan bagi membantu para usahawan di seluruh Malaysia dan Borneo untuk memasarkan produk mereka di peringkat antarabangsa.

"GD juga berpotensi memainkan peranan bagi membantu memulihkan ekonomi Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, GD Pavilion juga mempunyai tapak seluas 25 ekar dan boleh menempatkan sebanyak 800 premis pasar malam.

Katanya, kesemua produk PKS dari setiap negeri di seluruh negara dan Borneo boleh dipasarkan secara berkesan kepada pasaran antarabangsa dibawah satu bumbung di GD Pavilion Nilai, Negeri Sembilan, berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang.

Dalam satu mesyuarat yang dihadiri Presiden DPUDSM Malaysia Fitri Diana Mohd. Hashim bersama Foo baru-baru ini, Foo menjelaskan pihaknya bersama Naib Presiden PKS Sabah Tan Kai Teck juga telah mewujudkan kedai atas talian www.oceanborneo.com bagi mengumpul semua produk agro tempatan negeri ini untuk dipasarkan dalam dan luar Sabah.

Katanya, produk berkenaan juga boleh dijual kepada pelancong asing yang datang ke Sabah, eksport ke BIMP-EAGA, China dan pasaran antarabangsa yang lain.

"Kini dengan adanya platform GD di Nilai bagi mempromosikan produk tempatan kepada pengunjung antarabangsa, usaha ini akan membantu meningkatkan lagi hasil jualan kepada pengeluar tempatan di Sabah sekaligus membangunkan perniagaan mereka," katanya.



 

  • oleh
  • Advertisement