Anda di sini

PKR Sabah hantar notis tuntutan minta bukti ahli keluar parti

Advertisement
ADAM
ADAM

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah akan menghantar notis tuntutan kepada Timbalan Ketua Cabang Kalabakan Mohd Jailani Chachu untuk membuktikan bahawa terdapat 2,000 ahli di kawasan parlimen berkenaan telah keluar parti bersama beliau.

Pengarah Komunikasi PKR Sabah Adam Fistival Wilfrid berkata, kegagalan berbuat demikian akan memaksa parti untuk meneruskan tindakan undang-undang ke atas beliau dan rakan-rakan beliau yang telah membuat dakwaan berkenaan dalam sidang media baru-baru ini.

"Kami menuntut beliau membuktikan siapa 2,000 ahli parti ini. Sertakan nombor keahlian dan tandatangan mereka sekali. Jangan cakap sahaja untuk tujuan publisiti murahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Adam, bentuk kenyataan seperti yang dibuat oleh Mohd Jailani sudah lapuk dan muak bagi masyarakat khususnya mereka yang mengikuti perkembangan politik semasa di Sabah mahu pun di Malaysia secara keseluruhan.

“Malah, ia sudah menjadi bahan ketawa oleh masyarakat. Kenapa tidak, setiap kali seseorang itu keluar dari mana-mana parti politik, dia akan mendakwa keluar bersama ramai lagi ahli yang lain. Betulkah tidak, hanya dia yang tahu.

“Bentuk kenyataan seperti ini sudah lapuk dan tidak laku. Masyarakat bukan bodoh, mungkin beliau ingin menjual dirinya seolah-olah beliau ini berharga kerana mempunyai pengikut yang begitu ramai.

“Sekiranya benar, sila bagi nama, nombor keahlian dan tandatangan mereka sekali. Itu barulah cara yang betul dan bermaruah,” katanya.

Katanya, alasan yang diberikan melihatkan sifat mementingkan diri sendiri. Lebih baik berterus terang dan tidak perlu menggunakan alasan solidariti.

"Siapa tahu pada masa akan datang apabila beliau berada di dalam parti yang lain, alasan yang sama juga akan digunakan bila masa beliau ingin cabut lari atas demi kepentingan diri sendiri,” katanya

Katanya, individu seperti ini tidak boleh digelar pemimpin tetapi sebaliknya hanya seorang yang mencari peluang dalam pentas politik.

Sehubungan dengan ini, PKR Sabah mengeluarkan nama-nama ahli yang telah dipecat atau digantung keahliannya.

Antara senarai itu ialah Kong Hong Min (gantung), Roland Chia (gantung), Jonathan Yasin (pecat), Haris Thomas Tupang (gantung), Pagrios Petrus Zabang (gantung), Aslan Kansut (gantung), Rahimah Majid (pecat) dan Ahli Dewan Undangan Dilantik Jaffari William (pecat).

Katanya, mereka yang digantung keahlian akan menunggu pertuduhan dan sesi pendengaran sebelum dijatuhkan hukuman.



 

  • oleh
  • Advertisement