Anda di sini

11 keluarga terima bantuan Yayasan Wilayah Persekutuan

Advertisement
 Annuar (kanan) bersama Dr. Fary (berdiri) berbual mesra dengan keluarga asnaf kaum Tionghua di Kampung Sungai Keling yang turut menerima kit makanan sumbangan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan.
MESRA: Annuar (kanan) bersama Dr. Fary (berdiri) berbual mesra dengan keluarga asnaf kaum Tionghua di Kampung Sungai Keling yang turut menerima kit makanan sumbangan daripada Yayasan Wilayah Persekutuan.

LABUAN: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) merancang untuk membina ‘Rumah Prihatin' yang berkonsepkan rumah mampu milik untuk dimiliki oleh golongan asnaf dan golongan B40 yang berpendapatan rendah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan berbincang dengan Perbadanan Labuan untuk mendapatkan tapak tanah bagi merealisasikan projek tersebut.

Beliau berkata reka bentuk rumah yang akan dibina dan harga yang ditawarkan juga perlu mengikut kesesuaian dan kemampuan penduduk tempatan.

“Selepas melihat sendiri keadaan rumah rakyat terutamanya golongan asnaf yang tinggal di rumah daif, kita lihat ada keperluan mendesak untuk membantu golongan ini dengan menyediakan rumah mampu milik yang bersesuaian dengan taraf kehidupan dan kemampuan mereka,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kit makanan dan bantuan keperluan harian kepada golongan asnaf di Kampung Bukit Kalam, baru-baru ini.

Sebanyak 11 buah keluarga asnaf dari Kampung Sungai Keling, Bukit Kalam, Sungai Bedaun, Sungai Miri dan Sugai Lada menerima sumbangan berbentuk kit makanan dan wang tunai sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan.

Tambah Annuar, projek yang bakal dibina ini juga berbeza dengan konsep rumah mampu milik di Kuala Lumpur dan Putrajaya, maka satu kajian menyeluruh perlu dilakukan termasuk mengenai kos bahan binaan sebelum menentukan harga yang berpatutan untuk ditawarkan kepada golongan sasar.

Kata Annuar, pihaknya akan berbincang dengan MAIWP agar rumah yang bakal dibangunkan itu boleh ditawarkan sewa beli kepada MAIWP sekaligus memudahkan MAIWP membantu golongan asnaf mendapat rumah yang lebih selesa.

Turut mengiringi kunjungan Annuar itu ialah Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zaizalnizam Zaitun, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman dan Pengurus MAIWP Labuan, Ahmad Saifuddin Md. Tahir.



 

Advertisement