Anda di sini

Padas Farmstay diyakini akan berdaya maju

Advertisement
 Jamawi (tengah) bersama isteri menunjukkan isyarat bagus ketika membuat lawatan ke Padas Homestay.
BAGUS: Jamawi (tengah) bersama isteri menunjukkan isyarat bagus ketika membuat lawatan ke Padas Homestay.

KEMABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong Jamawi Jaafar yakin Padas Farmstay akan berdaya maju dan menjadi destinasi pelancongan yang menarik untuk dikunjungi oleh orang ramai khususnya pelancong dari luar.

Katanya, Padas Farmstay pada masa ini bukan sahaja menyediakan inap desa yang selesa namun pada masa sama turut menghasilkan produk hiliran Asam Boi buatan sendiri termasuk jus limau, minyak pati, enzim dan sebagainya daripada ladang mereka sendiri.

"Ini merupakan nilai tambah dan pengalaman baharu yang akan mendorong minat orang ramai khususnya pelancongan luar untuk melawat dan menginap di sini," katanya ketika melakukan lawatan ke pusat inap desa itu baru-baru ini.

Tambahnya Padas Farmstay yang dibangunkan dan dikendalikan oleh adik-beradik Tham di sepanjang Jalan Kemabong-Tenom bukan sahaja menyediakan penginapan inap desa namun usaha untuk menceburi industri hiliran turut memanfaatkan penduduk tempatan yang menanam pokok limau mereka sendiri dan menjualnya di Padas Farmstay.

Semasa lawatan itu, Jamawi bersetuju untuk membantu mendapatkan peralatan tambahan bagi memproses limau sebagai satu langkah untuk mengeluarkan lebih banyak produk agar masyarakat kampung dapat memasarkan hasil limau mereka di sini.

"Saya berharap penduduk kampung dapat mengusahakan tanaman Limau Kasturi atau Limau Kapas dimana dari segi pemasaran mereka boleh menjual di sini dan ini sudah tentu menjadi sumber pendapatan tambahan kepada penduduk kampung," katanya.

Setakat ini Padas Farmstay mengeluarkan kira-kira 100 botol sehari menggunakan kaedah tradisional untuk menghasilkan produk berkenaan.

Beliau sebagai wakil rakyat berkata, kerajaan negeri sudah tentu menghargai usaha yang dilakukan oleh Padas Farmstay khususnya keluarga Tham yang membawa nilai kepada ekonomi Sabah.

“Dengan itu saya memberi mereka komitmen saya untuk membantu sedaya upaya saya melalui geran, pinjaman dan sebagainya oleh institusi kerajaan negeri yang menyediakan pelbagai bantuan dan khidmat nasihat," katanya.

  • oleh
  • Advertisement