Anda di sini

Nelayan tradisional bumiputera harap tidak tercicir dalam PENJANA

Advertisement
JAINI
JAINI

SANDAKAN: Kerajaan diharap dapat pastikan golongan nelayan tradisional bumiputera di seluruh pesisiran pantai negeri Sabah tidak tercicir mendapat manfaat dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Penyelaras Komuniti Nelayan Kinabatangan Jaini Ating menyambut baik pengisytiharan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 9 Jun ini dan digantikan PKPP bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020.

“Pengumuman itu sudah tentu menggembirakan dan melegakan seluruh rakyat Malaysia,” katanya kepada Utusan Borneo.

Beliau berkata ini menandakan keyakinan rakyat kepada kerajaan telah berjaya menangani penularan pandemik COVID-19 dalam tempoh tiga bulan.

"Syabas dan tahniah Kerajaan Malaysia dibawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

Jaini berkata kelonggaran ini yang diumumkan pihak kerajaan untuk menjalani aktiviti harian dan komersial urus niaga di semua sektor industri mahupun pengusaha kecil dan sederhana semua lapisan masyarakat, asalkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) selaras dengan PKPP ini telah memberi impak besar dalam memulihkan ekonomi negara dan rakyat.

"Saya di pihak badan bukan kerajaan (NGO) nelayan bumiputera Sabah menzahirkan rasa bangga dan terima kasih dengan pengisytiharan kerajaan ini dan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pakej rangsangan ekonomi melalui PENJANA.

“PENJANA yang telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia di-Pertuan Agong dengan 40 inisiatif bernilai RM35 billion untuk membantu usaha fasa pemulihan ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19 terbabit,” katanya.

Beliau berkata sekurang-kurangnya golongan bumiputera nelayan tradisional ini turut sama dapat menikmati peruntukan PENJANA.

“Pada masa sama, saya mohon kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri agar dapat mempastikan golongan nelayan tradisional bumiputera di seluruh pesisir pantai negeri Sabah, tidak tercicir dan diberi perhatian serta bantuan pakej berkenaan.

Jaini berkata terdapat lebih 2,000 nelayan di Kinabatangan perlu dilesenkan dan kelulusan segera penubuhan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di Kinabatangan, tanpa birokrasi agensi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) seiring dengan fasa pemulihan yang dilaksanakan kerajaan.



 

  • oleh
  • Advertisement