Anda di sini

Dua tokan dadah ditahan bersama syabu

Advertisement
 Suspek dan bot ditahan anggota Unit Risikan Marin di kawasan perairan Tinagat.
TANGKAPAN: Suspek dan bot ditahan anggota Unit Risikan Marin di kawasan perairan Tinagat.

TAWAU: Dua lelaki warga asing disyaki tokan dadah ditahan bersama 100.24 gram syabu di kawasan perairan Tinagat, di sini.

Dalam kejadian jam 6.40 petang, kedua-dua suspek masing-masing berumur 20 dan 29 tahun itu ditahan oleh sepasukan Unit Risikan Marin (URM) PPM yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail berkata, semasa menjalankan tugas itu, anggota PPM melihat sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan sedang melalui kawasan berkenaan.

"Suspek yang menyedari kehadiran bot anggota PPM bertindak melarikan diri sehingga ke perairan Tinagat untuk mengelak ditahan pihak berkuasa.

"Seorang daripada suspek juga bertindak nekad terjun ke dalam laut. Namun, tindakan pantas anggota PPM berjaya memintas dan menahan kesemua suspek," katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, anggota PPM yang memeriksa suspek dan bot terbabit mendapati terdapat satu bungkusan plastik berwarna merah dibawa bersama di dalam bot terbabit.

"Siasatan lanjut ke atas bungkusan itu mendapati dua plastik lutsinar putih yang di dalamnya mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 100.24 gram.

"Kesemua suspek, syabu dan barang milik mereka termasuk perahu dan enjin yang dianggarkan bernilai RM18,000 dirampas serta dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula kelmarin dan disiasat mengikut Sekyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Jika sabit kesalahan, kesemua suspek boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan," katanya.

 

  • oleh
  • Advertisement