Anda di sini

India usir pegawai kedutaan Pakistan dituduh mengintip

Advertisement

NEW DELHI: Dua pegawai Pakistan yang dihalau oleh India atas tuduhan mengintip telah kembali ke tanah air kelmarin, kata seorang jurucakap kedutaan, ketika dua negara bermusuhan yang bersenjata nuklear itu berbalah mengenai tuduhan tersebut.

Kerajaan India pada Ahad lepas berkata dua orang itu telah ditahan kerana “terlibat dalam aktiviti pengintipan”, dan diberikan tempoh selama 24 jam untuk meninggalkan negara.

Kedua-dua mereka kembali ke Pakistan melalui lintasan sempadan Wagah, yang telah ditutup selama beberapa minggu disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan akibat COVID-19, seorang jurucakap kedutaan Pakistan memberitahu AFP.

Tindakan itu muncul ketika ketegangan bertambah sengit antara dua negara bermusuhan itu berhubung dengan wilayah Kashmir di Himalaya, yang terbahagi antara mereka pada 1947 ketika mereka memperolehi kemerdekaan dari Britain.

Media India melaporkan dua pegawai itu – kedua-dua-nya bertugas di jabatan visa di kedutaan – telah ditahan pada Ahad lepas ketika cuba untuk mendapatkan maklumat tentang  sebuah bangunan keselamatan India.

Dalam satu kenyataan pada lewat kelmarin, polis New Delhi berkata salah seorang lelaki itu dikatakan telah menyamar sebagai saudara lelaki kepada seorang wartawan yang cuba untuk mendapatkan maklumat mengenai Indian Railways, salah satu rangkaian perkhidmatan kereta api terbesar di dunia.

Lelaki tersebut sebalik-nya cuba untuk memperoleh maklumat mengenai “pergerakan unit Tentera (India) dan kelengkapan perang” di dalam kereta api, dakwa polis Delhi.

Pakistan telah memanggil charge d’affaires India untuk menyuarakan “kecamannya” terhadap pengusiran itu.

Pihak kementerian luar negara menggelar dakwaan itu “tidak berasas” dan menyatakan tindakan Delhi adalah “pencabulan jelas” terhadap Konvensyen Geneva mengenai hubungan diplomatik.

Kashmir telah menjadi satu sumber lebih besar bagi ketegangan antara kedua-dua kuasa ini sejak India pada Ogos lepas memansuhkan status separa autonomi di wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam dan melaksanakan kawalan keselamatan ketat.

Sebagai respons, Pakistan memanggil pulang dutanya dari Delhi dan menghantar pulang wakil dari India.

India dan Pakistan telah berperang dalam dua daripada tiga peperangan mereka sejak kemerdekaan kerana Kashmir.

Serangan dan kejadian berbalas tembakan di sekitar garisan sempadan Kashmir adalah kejadian harian, dan pada Februari 2019 mereka berbalas melancarkan sera-ngan udara.

Kelmarin di Kashmir yang ditadbir oleh India, anggota polis Chandan Kohli memberitahu AFP bahawa tiga lelaki terkorban dalam kejadian tembakan sekejap berhampiran sempadan de facto dikenali sebagai Garisan Kawalan (LoC).

Seorang sumber tentera memberitahu AFP lelaki itu terbunuh hanya selepas merentasi LoC.

New Delhi sering menuduh musuh ketatnya Pakistan menyediakan senjata dan menghantar pemberontak merentasi sempadan yang dikawal ketat oleh pihak tentera.

Islamabad menafikan dakwaan tersebut.

Kumpulan pemberontak di wilayah Kashmir yang ditadbir oleh India telah berperang selama beberapa dekad bagi kemerdekaan wilayah atau penggabungan dengan Pakistan.

Sejak 1989 peperangan telah menyebabkan berpuluh ribu orang meninggal dunia, kebanyakanya adalah warga awam.

India mempunyai lebih 500,000 anggota tentera di Kashmir, di mana pertempuran merupakan kejadian biasa namun pada bulan lepas telah berlanjutan hingga ke ibu negeri wilayah Srinagar. — AFP

Advertisement