Anda di sini

Mentor sukan bantu para pemain tangani masalah melalui syarikat Richardson Sport

Advertisement
 Gambar serahan menunjukkan Richardson (kiri) bersama pelanggannya iaitu penyerang Manchester United, Odion Ighalo di Pusat Taekwondo Kebangsaan untuk menjalani sesi latihan di Manchester. — Gambar AFP
PERANAN PENTING: Gambar serahan menunjukkan Richardson (kiri) bersama pelanggannya iaitu penyerang Manchester United, Odion Ighalo di Pusat Taekwondo Kebangsaan untuk menjalani sesi latihan di Manchester. — Gambar AFP

LONDON: Mentor dan jurulatih kecergasan Wayne Richardson ternyata sibuk menangani isu kesihatan mental para pemain bola sepak pada waktu tidak menentu yang luar biasa sewaktu sekatan pergerakan akibat COVID-19.

Richardson dan kakitangannya sudah bercakap kepada kira-kira 150 pemain, daripada profesional sehingga kepada peringkat akar umbi sewaktu bola sepak ditangguhkan.

Pemain telah melaporkan beberapa isu, daripada tidak dapat bermain PlayStation dengan rakan-rakan mereka kepada kekurangan kemudahan latihan di rumah, tetapi terdapat satu persamaan.

“Biasa daripada akar umbi, akademi, sarjana hingga kepada pasukan utama, pemain mendapati ia membosankan,” katanya kepada AFP menerusi telefon dari rumahnya di Manchester, utara England.

“‘Saya tidak dapat pergi ke rumah teman wanita saya, saya tidak dapat memandu ke sana sini, pergi ke kedai’. Kami perlu cuba mengimbangi perkara itu dan memberitahu merek bahawa ia tidak akan kekal buat selama-lamanya.”

Richardson menubuhkan syarikatnya, Richardson Sport, dengan Emma Hughes pada 2010. Pasukannya terdiri daripada jurulatih kecergasan, pakar nutrisi, ahli psikologi dan mentor sukan.

Richardson, dengan pelanggan baru-baru ini termasuk pemain Manchester United, Odion Ighalo, berkata keadaan tidak menentu kerap berlaku di kalangan pemain, walaupun ada di antara mereka kini sedang bersiap sedia untuk kembali beraksi.

“Kami mengusahakan beberapa perkara yang kami biasanya tidak beri banyak tumpuan, mendengar kepada kebimbangan mereka,” katanya.

“Ada yang tidak tahu sama ada mereka akan disuruh menandatangani kontrak baharu ataupun tidak dan kami fokus kepada ‘ada pilihan lainkah bagi anda seperti karier lain, pengajian lanjut?’”

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional mengeluarkan perangkaan pada awal bulan ini dari satu tinjauan yang dijalankan sewaktu pandemik yang menunjukkan lebih satu per lima daripara para pemain sekarang dan dahulu telah melaporkan kemurungan atau menimbang untuk mencederakan diri.

Richardson sendiri mengalami episod yang amat menyedihkan pada 2006.

Dia telah menghabiskan masa berjam-jam untuk bercakap dengan seorang pemain bola sepak dengan teman wanita yang telah memberitahunya bahawa dia mengandung dengan anak orang lain.

Richardson menasihatkan pemain itu untuk mengambil ujian paterniti.

“Saya menerima teks pesanan dari salah seorang rakan pemain itu 'Wayne, dia tidak akan masuk esok’,” kata Richardson.

“Saya tidak akan lupa bahagian ini – ‘x telah dijumpai mati tergantung’. Ia menunjukkan kita tidak tahu apa yang sedang berlaku di belakang tabir.”

Richardson berkata pemain juga memerlukan bantuan praktikal.

“Mereka mungkin telah ditawarkan kontrak baharu dan kemudian cedera dan jurulatih mungkin telah menyebut dengan malangnya ‘kami tidak tahu sama ada kami dapat mengekalkan anda’,” katanya.

“Ia menimbulkan keraguan bagi pemain itu, mula-mulanya untuk kembali cergas dan apa akan berlaku selepas itu.” — AFP

Advertisement