Anda di sini

Masyarakat sambut Hari Gawai harus patuhi SOP: Huang

Advertisement
 Huang (kiri) menyampaikan sumbangan Hari Gawai kepada penduduk Rumah Robert di Sarikei.
HULUR SUMBANGAN: Huang (kiri) menyampaikan sumbangan Hari Gawai kepada penduduk Rumah Robert di Sarikei.

SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok Dato Sri Huang Tiong Sii menggesa masyarakat menyambut Hari Gawai agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Katanya, langkah ini amat penting dalam usaha semua pihak memutuskan rantaian COVID-19 daripada terus merebak.

“Kita yakin masyarakat amat mengharapkan menjalani kehidupan seperti biasa sebelumnya berlaku wabak COVID-19 seluruh dunia.

“Kita merindui norma kehidupan sebelum ini bebas bergerak dan bergaul serta menyambut perayaan penuh meriah dan harmoni melibatkan komuniti besar tanpa rasa ragu dan khuatir terhadap perkara memudaratkan kesihatan.

“Kita harap masyarakat tabah dan bersama dengan petugas barisan hadapan memerangi wabak ini untuk kebaikan bersama dan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan,” kata Huang.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan dan menghulurkan sumba-ngan Hari Gawai ke beberapa rumah panjang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok, semalam.

Pada program ini, Huang bersama pasukannya menghantar sumbangan Hari Gawai ke rumah panjang di Sungai Paoh, Sungai Pasi, Meruton, Sungai Batu dan Merudu.

Beliau turut berharap ma-syarakat mematuhi arahan tidak balik ke kampung atau rumah panjang khususnya tinggal di bandar.

“Bagi penduduk rumah panjang atau meraikan sam-butan Hari Gawai kita harap dapat diraikan dalam suasana sederhana.

“Tangguhkan dahulu niat atau amalan kunjung-mengunjung kerana situasi tidak membenarkan kita bagi menjamin keselamatan dan kesihatan semua pihak,” jelasnya.

Huang berharap semua pihak menerima sumbangan Hari Gawai dapat memanfaatkan dengan baik.

Advertisement