Anda di sini

Pecah rumah, curi dan miliki peluru hidup, dua lelaki direman tujuh hari

Advertisement

MIRI: Dua lelaki yang ditangkap kerana disyaki terlibat kes pecah rumah dan curi serta memiliki peluru hidup diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman tujuh hari.

Kedua-dua suspek yang berusia 27 dan 29 tahun masing-masing dari Jalan Tekam Lanang, Sibu dan Permyjaya di sini diperintahkan menjalani reman itu di lokap Balai Polis Pusat Mir mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut keterangan pegawai penyiasat Inspektor Akmal Nashreq Abdul Malik ketika mengemukakan permohonan reman memberitahu pada 9 Mei lalu, seorang lelaki telah membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.

Dalam aduannya, pengadu, 35, mendakwa sekitar jam 11.40 pagi hari sama, beliau mendapati pejabatnya yang terletak di Jalan Airport di sini telah dipecah masuk oleh orang tidak dikenali melalui pintu hadapan.

Hasil pemeriksaan lanjut, pengadu dapati satu alat pembaca kad telah hilang.

Menurut pengadu, pejabatnya itu telah ditinggalkan dalam keadaan berkunci pada jam 4.30 petang, 8 Mei lalu.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 10.05 pagi, 25 Mei lalu, sepasukan polis diketuai DSP Sila Kadong yang membuat serbuan ke sebuah unit kondominium di Jalan Tanjung Lobang di sini telah menangkap dua lelaki kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Polis yang membuat pemeriksaan lanjut di dalam unit kondominium itu telah merampas sebanyak 64 jenis barang elektrik, beg, kunci dan jam tangan yang dipercayai barang hasil kegiatan pecah rumah dan curi.

Selain itu, polis turut merampas satu kotak berisi 47 butir peluru hidup jenis Luger 9mm yang disembu-nyikan di dalam sebuah laci di ruang tamu.

Berikutan itu, kedua-dua suspek bersama barangan rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Dalam permohonan lanjutnya, Akmal berkata reman selama tujuh hari ke atas ke-dua-dua suspek amat diperlukan untuk membolehkan polis mendapatkan maklumat risikan selain mendapatkan cap jari dan merujuk mereka ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri untuk ujian air kencing.

Justeru membebaskan mereka lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Majistret Eleanor Mako Timothy membenarkan reman tujuh hari ke atas kedua-dua suspek sehingga 2 Jun depan.

Advertisement