Anda di sini

Kastam rampas rokok bernilai RM168,731 termasuk cukai di Lundu

Advertisement
Antara barang kes yang dirampas Kastam.
Antara barang kes yang dirampas Kastam.

KUCHING: Intipan selama seminggu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak ke atas sebuah rumah di Lundu membawa kepada penemuan pelbagai jenis rokok yang dipercayai diseludup dianggarkan bernilai RM168,731 termasuk cukai.

Pengarahnya Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata sindiket tersebut berjaya dibongkarkan selepas anggotanya menyerbu rumah berkenaan sekitar jam 2.45 petang Rabu.

Menurutnya, kira-kira 187,400 batang rokok ditemui di dalam operasi oleh Cawangan Operasi Darat, Kastam Kuching itu.

"Pemeriksaan rapi ke atas rumah yang dijadikan stor simpanan telah menjumpai sebanyak 187,400 batang rokok yang terkandung dalam 9,370 katun dianggarkan bernilai sebanyak RM40,952.00 serta jumlah cukai terlibat dianggarkan berjumlah RM127,779.20.

"Dipercayai rokok tersebut adalah untuk pasaran tempatan di sekitar Bau, Lundu dan Sematan bagi memenuhi permintaan sempena musim perayaan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya juga, seorang lelaki tempatan yang dipercayai pemilik rumah tersebut turut ditangkap untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

"Jika disabitkan kesalahan akan didenda tidak kurang 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar.

"Selain itu, juga boleh didenda tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun," jelasnya.

JKDM menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan atau kawalan tanpa permit import dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana pejabat Kastam berhampiran.

  • oleh
  • Advertisement