Anda di sini

Haaland, Lewandowski bersemuka di Signal Iduna Park

Advertisement
(Kiri) LEWANDOWSKI dan HAALAND
(Kiri) LEWANDOWSKI dan HAALAND

BERLIN, Jerman: Salah seorang pemain muda berbakat besar akan bersemuka dengan salah seorang penyerang berbisa ketika ini apabila Erling Braut Haalaand dan Robert Lewandowski bertemu buat kali pertama.

Borussia Dortmund menanti kunjungan pendahulu Bundesliga Jerman, Bayern Munich pada pertemuan dua kelab teratas liga yang menyaksikan Haaland, 19 dan Lewandowski, 12 tahun lebih tua dengan kedua-dua pemain cuba mengekalkan prestasi cemerlang mereka di hadapan pintu gol.

Kedua-dua pemain sudah menjaringkan 41 gol dari 35 perlawanan dari dalam semua pertandingan musim ini walaupun Haaland hanya menyertai Dortmund pada bulan Januari kelab Red Bull Salzburg di Austria.

Jurulatih Bayern, Hansi Flick, di mana pasukannya berkelebihan empat mata berbanding Dortmund, percaya perbandingan di antara kedua-dua pemain itu adalah terlalu awal tetapi jelas menyedari kemampuan Haaland.

“Haaland berada pada musim pertamanya, Robert sudah berkembang sejak beberapa tahun di peringkat tertinggi,” kata beliau. “Tetapi Haaland adalah bakat besar.”

Sebelum Liga Juara-Juara ditangguhkan pada bulan Mac kerana pandemik koronavirus (COVID-19), Haaland berada di tangga kedua di belakang Lewandowski dalam senarai penjaring terbanyak kejohanan, satu gol di belakang Lewandowski dengan 11 gol.

Gol Lewandowski termasuk empat gol dalam hanya 14 minit dalam separuh masa kedua ketika membelasah Red Star Belgrade pada bulan November, mengembalikan kenangan menjaringkan lima gol dalam masa sembilan minit ketika menentang Wolfsburg pada 2015.

Haaland sudah menjaringkan lapan gol bersama Salzburg di pusingan pertama kejohanan dan dua gol untuk Dortmund pada pusingan kedua ketika tewas kepada Paris Saint Germain (PSG).

Lewandowski menjaringkan 27 gol dalam 25 perlawanan  liga dan berada di landasan untuk dimahkotakan sebagai penjaring terbanyak liga sebanyak lima kali dari 10 musim.

Haaland sudah menjaringkan 10 gol liga dari beberapa perlawanan tetapi purata gol beliau – satu gol dalam setiap 69 minit – adalah lebih bagus dari Lewandowski dengan purata 82 minit setiap gol.

Haaland dan Lewandoski tidak begitu menonjol tentang kehidupan mereka di luar padang dan kelihatan lebih gembira membiarkan jaringan gol bercakap bagi pihak mereka.

“Beliau adalah salah seorang pemain yang benar-benar berlatih,” kata pemain pertahanan Dortmund, Mats Hummels ketika bercakap tentang Haaland,  yang kebiasaannya hanya menjawab ringkas kepada setiap soalan yang diajukan oleh wartawan.

“Saya suka cara beliau bekerja pada usianya,” tambah Hummels.

Lewandowski dikenali sebagai seorang yang lebih banyak menghabiskan masa di gim berbanding dunia glamour.

“Di fikirannya, beliau hanya memikirkan  tentang makanan yang betul, masa tidur sesuai dan latihan setiap hari,” kata bekas jurulatih Bayern, Pep Guardiola.

“Beliau sentiasa bermain, jarang cedera kerana beliau memberi fokus kepada perkara ini.”

Fokus itu mungkin membolehkan kedua-dua pemain ini cukup berbisa di hadapan pintu gol lawan.

Pada bulan Januari, Haaland menjadi pemain pertama menjaringkan hatrik sebagai pemain gantian pada penampilan sulung dalam Bundesliga dan juga  pemain ketiga paling muda, di belakang Wayne Rooney dan Raul, yang  menjaringkan hatrik dalam satu perlawanan Liga Juara-Juara – ketika berusia 19 tahun dan 58 hari pada bulan September tahun lepas.

Lewandowski juga diingati kerana aksi individu cemerlang selain konsisten menjaringkan gol yang banyak pada setiap musim.

Beliau mencipta banyak rekod pada perlawanan menentang Wolfsburg lima  tahun yang lalu dan juga menjaringkan gol ketika menjadi pemain Dortmund pada perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Real Madrid.

Seperti Haaland, kelab Eropah pertama Lewandowski adalah Dortmund, yang disertai ketika berusia 20 tahun dari kelab di Poland, Lech Poznan pada 2010.

Beliau tidak membuang masa menyesuaikan diri dan berada dalam kesebelasan utama untuk membantu Dortmund muncul juara Bundesliga Jerman pad 2011 dan 2012 ketika di bawah  kendalian Jurgen Klopp.

Beliau diingati menjaringkan hatrik ketika menentang Bayern Munich ketika menang 5-2 di final  Piala Jerman pada 2012.

Haaland menyesuaikan diri di Dortmund lebih cepat berbanding Lewandowski, menjaringkan 13 gol dalam 13 perlawanan pertama, termasuk gol pertama ketika musim disambung semula apabila menewaskan Schalke 4-0.

Berbeza dengan Lewandowski, beliau menjaringkan sembilan gol dalam 43 perlawanan pada musim pertama bersama Dortmund. —AFP

Advertisement