Anda di sini

Ngabang Gawai tidak dibenarkan, usaha putuskan rantaian COVID-19

Advertisement
Ngabang Gawai satu kemestian setiap kali Hari Gawai Dayak bagaimanapun disebabkan penularan COVID-19 amalan ini tidak dibenarkan. (Gambar fail)
Ngabang Gawai satu kemestian setiap kali Hari Gawai Dayak bagaimanapun disebabkan penularan COVID-19 amalan ini tidak dibenarkan. (Gambar fail)

KUCHING: Amalan kunjung mengunjung atau Ngabang Gawai dari rumah ke rumah dan rumah panjang ke rumah panjang  sempena Gawai Dayak tidak dibenarkan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalamm kenyataannya berkata arahan tersebut antara keputusan dicapai semasa Mesyuarat Khas hari ini.

Pada sidang media harian COVID-19 pada  14 Mei lalu Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Hari Gawai pada 1 Jun ini hanya dibenarkan disambut sehari sahaja dengan kapasiti 20 ahli keluarga dan jiran terdekat.

Uggah berkata ia merupakan prosedur operasi standard (SOP) menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak.

Selain itu katanya, antara aktiviti-aktiviti tidak dibenarkan semasa perayaan ialah perjalanan balik ke kampung yang melibatkan pergerakan antara daerah.

"Tiada aktiviti kunjung- mengunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai, tiada rumah terbuka perayaan, tiada bersalaman dan bersentuhan, tahlil dan kenduri  Hari Raya.

'Semalam apabila saya mengumumkan aktiviti ziarah Hari Raya dan Hari Gawai hanya sehari, namun ada masyarakat yang memikirkan mereka boleh balik ke kampung.

"Saya mohon maaf kerana perlu membuat keputusan sebegini dan kita faham perasaan mereka tetapi apabila kita menghadapi situasi menentang COVID-19, perlu ada usaha dilakukan agar dapat memutuskan rantaian wabak," ujarnya.

Malah pada sidang media 19 Mei lalu, Uggah berkata perjalanan antara daerah masih tidak dibenarkan di Sarawak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menegaskan perkara itu, beliau berkata larangan itu cuma berkuatkuasa di Sarawak keranan negeri ini seluas Semenanjung Malaysia dan kawasan hijau (COVID-19) dalam daerah tertentu menyebabkan sekatan perjalanan antara daerah masih perlu.

"Saya telah menyatakan angka-angka kes positif yang berlaku di luar bandar adalah kerana adanya perjalanan mangsa atau mereka yang positif COVID-19 dari Kuching ke tempat tertentu di mana COVID-19 merebak.

" Jadi kita cuba menghalang perkara ini berlaku kerana ia merupakan rantaian utama penularan COVID-19 di negeri ini walaupun antara zon hijau dengan zon hijau," tegasnya.

  • oleh
  • Advertisement