Anda di sini

Kerja pembinaan projek besar di Limbang disambung semula

Advertisement
 Paulus dan Abdul Rahman bersama yang lain melawat ke tapak projek naik taraf Tebingan Sungai Limbang, kelmarin.
LAWAT: Paulus dan Abdul Rahman bersama yang lain melawat ke tapak projek naik taraf Tebingan Sungai Limbang, kelmarin.

LIMBANG: Kerja-kerja pembinaan beberapa projek besar di Limbang yang sebelum ini dihentikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali dimulakan.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, antaranya Projek Tebingan Sungai Limbang Fasa 1 dan Fasa 2 dan pembinaan jejantas antara Hotel Purnama dan bangunan Tamu Limbang.

Beliau berkata, projek naik taraf Tebingan Sungai Limbang Fasa 1 yang sepatutnya siap pada Julai ini dilanjutkan sehingga Disember tahun ini.

“Kelewatan ini bukan hanya disebabkan PKP namun struktur tanah, faktor cuaca dan bahan binaan. Kontraktor juga telah memberikan jaminan projek akan siap menjelang Disember 2020, jadi terlewat dalam lima bulan.

“Manakala, fasa kedua tidak banyak masalah dan akan siap dilaksanakan mengikut jadual iaitu pada Julai 2021,” katanya dalam satu kenyataan selepas melawat tapak projek Tebingan Sungai Limbang Fasa 1 dan 2 kelmarin.

Dr Abdul Rahman berkata, kerja-kerja pembinaan mula diteruskan berikutan kelonggaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagi projek jejantas pula, Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata projek itu dilanjutkan sehingga September ini.

Ujar beliau, semua ini adalah projek rakyat Ketua Menteri Datuk Patinggi  Tun Openg dan seperti yang dilaporkan oleh kontraktor kepada beliau projek tersebut mengalami kelewatan.

Hadir sama ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Penolong Pegawai Daerah Limbang Hamidah Halpi, Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat dan Setiausaha Majlis Daerah Limbang Petrick Linggie Taboh.

  • oleh
  • Advertisement