Anda di sini

Pesawat terhempas, anggota pasukan aerobatik maut

Advertisement

TORONTO: Seorang anggota dari Snowbirds, satu pasukan aerobatik tentera udara elit Kanada, meninggal dunia dan seorang lagi tercedera pada Ahad selepas pesawat mereka terhempas di British Columbia semasa satu pertunjukan bagi memberikan penghormatan kepada usaha umum menentang COVID-19, menurut pihak tentera.

Menurut media tempatan, pesawat itu terhempas di halaman depan sebuah rumah sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Kamloops pada pagi Ahad bersama dengan sebuah lagi pesawat.

“Dengan rasa berat hati kami memaklumkan bahawa seorang anggota pasukan CF Snowbirds  telah meninggal dunia dan seorang lagi mengalami kecederaan,” menurut Royal Canadian Air Force (RCAF) dalam Twitter pada malam Ahad.

Mereka kemudian mengemaskinikan kenyataan itu, menyatakan  bahawa anggota tentera yang terselamat dalam nahas itu mengalami kecederaan yang “tidak dianggap sebagai membahayakan nyawa.”

Menteri Kesihatan Wilayah Adrian Dix menyatakan dalam Twitter sebelum itu bahawa seorang telah dibawa ke hospital.

Beberapa orang saksi menyatakan juruterbang telah berjaya melonjak keluar dari pesawat dengan payung terjun sebelum nahas tersebut. Juruterbang tersebut mendarat di atas bumbung sebuah rumah dan kelihatan mengalami kecederaan di bahagian belakang dan leher.

Dalam satu rakaman video yang diambil oleh seorang pejalan kaki, bangkai pesawat yang terbakar dapat dilihat dengan jelas di depan sebuah rumah. Jiran tetangga telah berkumpul di luar untuk cuba mengetahui apa yang telah berlaku.

Gambar-gambar dari kawasan kejadian nahas turut kelihatan menunjukkan serpihan yang terbakar di depan sebuah rumah, sebahagian daripadanya sedang terbakar.

“Sebuah lagi pesawat meneruskan pertunjukan, dan satu lagi... menjadi satu bebola api.

“Tiada bunyi bising, ia adalah pelik, dan kemudian pesawat hanya melakukan satu putaran dan jatuh menjunam dari udara. Menjunam, terus ke bawah dan kemudian satu kepulan asap hitam,” seorang saksi Annette Schonewille memberitahu Radio Canada.

Badan penyiaran awam CBC memetik seorang saksi lagi, Nolyn Mcleod yang menyatakan pesawat melepasi kira-kira tiga meter di atas bumbung rumahnya.

“Kami melihat juruterbang melonjak keluar seperti mungkin setinggi dua tingkat, dan kemudian pesawat tanpa juruterbang itu menjunam betul-betul di antara rumah saya dan jiran saya,” sebelum akhirnya mengenai tingkap bilik tidur rumah jiran tersebut,” jelasnya.

“Keadaan menjadi kecoh. Orang awam menjerit-jerit. Kami memikirkan kami telah dibom atau sebagainya. Begitulah kecohnya ketika itu.”

Dua buah pesawat telah dijadualkan untuk terbang di British Columbia sebagai sebahagian daripada satu jelajah dikenali sebagai ‘Operation Inspiration’, dilancarkan pada awal bulan ini untuk memberikan penghormatan kepada usaha rakyat Kanada menangani pandemik COVID-19.

Formasi utama sembilan buah jet Snowbirds dengan semburan asap putihnya, memulakan jelajahnya di Nova Scotia dan akan membuat pertunjukan udara di beberapa buah bandar  bermula dari Atlantik hingga ke lautan Pasifik, pada ketinggian 500 kaki (150 meter). — AFP

Advertisement