Anda di sini

Mengamuk kerana ibu tidak beri duit, pemuda didenda RM1,500

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pemuda yang mengamuk apabila tidak diberikan duit dan seterusnya melakukan khianat dengan memecahkan meja makan milik ibunya didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Mohd Syukri Mokhtar menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Aslam Abdul Kadir, 24, selepas dia mengaku bersalah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. 

Mahkamah juga menetapkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam membayar denda tersebut. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan khianat dengan memecahkan sebuah meja makan marmar milik ibunya, Herawati Sudiro, 56, sehingga menyebabkannya mengalami kerugian kira-kira RM300. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.30 petang, 11 Mei lalu, di rumah ibunya di Jalan Cenderawasih, Petra Jaya. 

Berdasarkan fakta kes, tertuduh meminta wang berjumlah RM50 daripada ibunya, namun dia enggan menuruti kehendak tertuduh yang beralamatkan di Kampung Sinjan itu. 

Justeru, tertuduh mengamuk dan merosakkan barangan di dalam rumah. 

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad. 

  • oleh
  • Advertisement