Anda di sini

Jualan dalam talian jamin rezeki Ramadan ketika PKP

Advertisement
 Nur Amalina menyediakan dadih untuk jualan semasa Ramadan.
MENYEGARKAN: Nur Amalina menyediakan dadih untuk jualan semasa Ramadan.

JUALAN juadah berbuka puasa dalam talian tetap memberikan pendapatan lumayan meskipun tidak sehebat sambutan pelanggan dengan cara penjualan di tapak Bazar Ramadan yang diadakan setiap tahun.

Keadaan itu diakui suri rumah Nur Amalina Abdullah,50, di Bintulu yang giat menjalankan perniagaan menjual juadah berbuka puasa dalam talian sejak hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP)dan penjarakan sosial bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Ya, sambutan orang ramai terhadap juadah berbuka puasa dijual secara dalam talian setakat ini agak menggalakkan namun tidak sehebat dengan cara penjualan di tapak Bazar Ramadan,” ujarnya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

“Permintaannya agak tinggi dan dalam sehari saya mampu membuat pelbagai jenis juadah berbuka puasa bergantung kepada permintaan tempahan dalam talian,” katanya.

NORMA BAHARU

Begitupun katanya, dengan menjalani norma baharu, suasananya agak kekok dan berbeza daripada bazar yang biasa kerana terpaksa mengehadkan kuantiti juadah yang disediakan supaya habis dijual, selain kerap merubah menu supaya pelanggan yang menempah tidak muak.

Nur Amalina yang mengusahakan jualan di kediamannya di Kampung Assyakirin Fasa 3 berkata, kebanyakan juadah yang telah ditempah dalam talian akan diambil sendiri pelanggan atau dihantar kepada pelanggan dengan menggunakan perkhidmatan penghantar makanan.

Beliau berkata, antara juadah berbuka puasa yang dijualnya ialah laksa Sarawak, nasi lemak pandan kukus, dadih berbagai perisa, ‘Vietnamese roll,’ kek batik, mi jawa dan rojak buah.

Memandangkan beliau telah biasa berniaga juadah berbuka puasa secara kecil-kecilan pada tahun sebelumnya katanya, tiada masalah untuk menyediakan pelbagai menu yang diinginkan pelanggan.

Justeru beliau berharap rezeki menjalankan perniagaan dalam talian dalam tempoh PKP akan terus melimpah dan keadaan akan kembali kepada sedia kala selepas wabak COVID-19 lenyap supaya semua orang dapat menjalani kehidupan harian seperti biasa.

Keterangan lanjut dan untuk menempah juadah berbuka puasa hubungi Nur Amalina di talian 019-8741562.

  • oleh
  • Advertisement